Ahli Dewan Negeri Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar melawat reruai pada majlis perasmian minggu keselamatan, kesihatan dan Alam Sekitar 2022 di Etika Dairies Sdn Bhd pada 29 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kolam tadahan bah Kampung Budiman dijangka siap 2025

KLANG, 29 DIS: Pembinaan kolam tadahan di Kampung Budiman, Meru diumumkan Dato’ Menteri Besar dalam Belanjawan 2023 membantu mengurangkan masalah banjir di kawasan tersebut.

Wakil rakyat Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata kolam tadahan yang dibina berhampiran Sekolah Kebangsaan Meru 2 dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

“Kerja pembinaan kolam tadahan telah pun bermula namun kini prosesnya agak perlahan kerana faktor cuaca. kita berharap diteruskan segera supaya tidak menimbulkan masalah lain.

“Selain pembinaan kolam tadahan baharu, proses mendalamkan kolam tadahan sedia ada akan dilakukan di Sungai Bakul dan rumah pam air,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Minggu Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar anjuran Etika Dairies Sdn Bhd di Meru, Klang hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan 2023 memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor akan melaksanakan projek bagi mengatasi masalah banjir membabitkan kos RM45 juta.

Pembinaan itu melibatkan Kolam Takungan Banjir di Kampung Budiman dengan kos RM20 juta, Kolam Takungan Banjir di Rawang Integrated (RM15 juta) dan Kolam Takungan Banjir di Lebuhraya Shapadu bersebelahan Taman Mutiara Bukit Raja (RM10 juta).

Selain itu, Amirudin berkata Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) juga akan dibuat di Sabak Bernam menerusi peruntukan RM500,000 bagi menyediakan sistem saliran secara lebih bersepadu.


Pengarang :