Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli bersama Angkatan Belia Islam Malaysia ketika meluncurkan buku Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda dan Wilayah Matrikulasi di Dewan Sekretariat ABIM, Gombak pada 8 Disember 2022. Foto Facebook Adam Adli
AGENDA NASIONAL

Koleksi tulisan anak muda perihal perjuangan Anwar Ibrahim diterbit semula

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Koleksi penulisan anak-anak muda mengenai perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak usia muda Perdana Menteri itu menerusi buku, Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda terbitan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Press dilancarkan semula, hari ini.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli berkata pelancaran semula buku itu tepat pada masanya dalam situasi masyarakat kini berhadapan cabaran ‘gelombang politik’ dengan konservatisme sempit sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Saya harap penerbitan buku, Anwar Ibrahim Semangat Darah Muda dan buku Wilayah Matrikulasi yang menghimpunkan pengalaman anak-anak muda ini boleh memberi pencerahan kepada masyarakat. Ia menceritakan pengalaman bagaimana mereka (penulis) mengenali Anwar dari usia muda sehingga beliau diangkat sebagai tokoh.

“Karya-karya dalam himpunan ini dihasilkan secara kesedaran kolektif masyarakat, yang mengangkat tokoh mereka sebagai model, maka bagi saya tiada isu. Terbitnya buku ini pada hari ini, biarlah sampai ke generasi akan datang,” katanya pada majlis pelancaran Wilayah Matrikulasi dan buku Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda di Dewan Sekretariat ABIM, Gombak hari ini.

Sementara itu, penyuntingnya Zairudin Hashim berkata buku yang melibatkan 22 penulis dari pelbagai latar belakang itu tidak berkonsepkan biografi tetapi merupakan himpunan karya penulisan anak-anak muda yang ditulis secara santai tanpa sebarang bentuk naratif politik.

“Kami sudah terbitkan buku ini (Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda) pada 2019, namun atas faktor permintaan tinggi kami lancarkan semula dengan mencetak 1,000 naskah baru-baru ini. Sejak 2019, buku ini sudah dijual kira-kira 10,000 naskah.

“Buku ini bukan dari kaca mata mana-mana ahli politik atau parti, sebaliknya bagaimana mereka (penulis) tahu dan kenali Anwar Ibrahim. Karya ini adalah supaya masyarakat tahu sosok Anwar Ibrahim bukan hanya sebagai Ketua Pembangkang…bukan untuk paksa sokong beliau, tetapi agar generasi muda 90-an ini fahami serta tahu perjuangan yang dibawa,” katanya.

Anwar Ibrahim merupakan Presiden ABIM pada 1974 hingga 1984. – BERNAMA


Pengarang :