Gerai buku PTS Media Group mendapat sambutan di Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 5 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Komik, buku kewangan antara pilihan pengunjung di pesta buku negeri

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 6 DIS: Komik Silat Boy merupakan antara buku terlaris di reruai PTS Media Group, yang merupakan satu daripada pempamer di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di sini.

Eksekutif Pemasarannya Nurul Syaidatul Husna Muhamad Syafek berkata 1,400 buku telah dibeli pengunjung dalam tempoh lima hari termasuk komik Silat Boy yang dijual lebih 500 naskhah.

“Kita tawarkan diskaun 30 peratus jika beli kombo buku termasuk siri komik Silat Boy.

“Mungkin itu membantu melariskan jualan,” katanya ketika ditemui di SIBF yang bertempat di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Nurul Syaidatul Husna Muhamad Syafek menunjukkan buku yang laris dijual PTS Media Group pada Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 5 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Saiful Riza Radzali berkata sebanyak 1,500 buku telah terjual di reruai pihaknya.

“Buku yang paling laris ialah Bank dan Kewangan serta Modul dan Falsafah yang terjual hampir 200 naskhah.

“Kita masih giatkan promosi melalui peluncuran buku baharu dan aktiviti bersama penulis secara dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu, penyelaras penerbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Mardiyyah Abadan berkata buku terlaris di reruainya ialah Penyucian Kalbu yang terjual hampir 100 naskhah.

“Setakat lima hari ini sebanyak 500 buku dijual.

“Kita menyasarkan jualan 1,000 buku sehingga 11 Disember ini dengan setiap pembelian diberi diskaun 10 peratus,” katanya.


Pengarang :