EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (kiri) dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Dato’ Johary Anuar melihat pelan tapak Kompleks dan Kemudahan Awam MBSJ ketika majlis pecah tanah projek berkenaan di Taman Wawasan pada 3 November 2022. Foto MBSJ
BERITA UTAMAPBTPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Kompleks sukan moden RM16.25 juta di Puchong siap Ogos 2024

SHAH ALAM, 20 DIS: Projek pembangunan kompleks sukan dan kemudahan awam bernilai RM16.25 juta yang giat dilaksana di Pusat Bandar Puchong, Subang Jaya dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2024.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata kompleks sukan seluas 4.31 ekar bakal dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk gelanggang futsal bertaraf antarabangsa.

“Kemudahan itu antaranya gelanggang bola keranjang, badminton dan futsal bertaraf Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) yang mempunyai kapasiti 1,018 tempat duduk penonton.

“Selain itu, kompleks sukan ini turut dilengkapi dengan bilik persalinan, bilik pengadil, bilik tetamu, bilik media, pejabat pengurusan dan lain-lain kemudahan awam,” katanya.

Beliau berucap pada program lepak santai sempena perlawanan akhir Piala Dunia 2022 antara Argentina dan Perancis di Tasik Taman Wawasan, Pusat Bandar Puchong kelmarin.

Johary menambah kemudahan luar bangunan pula terdapat trek joging sepanjang 270 meter, taman permainan dan rekreasi, tempat letak kereta dan bangunan ansilari serta sokongan.

“MBSJ berbesar hati dapat melaksanakan projek ini yang akan memberi manfaat kepada seluruh komuniti.

“Diharap kemudahan ini dapat menyuburkan pembangunan sukan di bandar raya ini selain mencapai sasaran Bandar Sihat,” katanya lagi.

Selain menonton perlawanan bola melalui tayangan layar gergasi, pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya termasuklah pertandingan sepakan penalti, persembahan pemuzik jalanan dan cabutan bertuah.

Pengunjung juga diberikan kupon makanan percuma untuk membeli juadah di kendera saji.

 


Pengarang :