Penghuni penjara mengisi masa lapang melakukan aktiviti berfaedah. Foto Facebook Jabatan Penjara Malaysia
AGENDANASIONAL

Krismas: Keluarga dibenar lawat penghuni penjara 27, 28 Dis

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Keluarga kepada penghuni penjara termasuk Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney dibenarkan untuk membuat lawatan perjumpaan sempena sambutan Hari Krismas pada 27 dan 28 Disember ini.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan keutamaan lawatan diberi kepada penghuni beragama Kristian sahaja menerusi perjumpaan secara bersemuka atau dalam talian.

“Keluarga yang memilih kaedah bersemuka waktu lawatan bermula dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang. Kaedah secara dalam talian bermula pada 29 hingga 31 Disember,” menurut kenyataan itu.

Menurut jabatan itu, seorang penghuni hanya dibenar untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada ahli keluarga dengan lawatan perjumpaan itu dibenarkan kepada pelawat yang membuat janji temu menerusi tiga kaedah tempahan iaitu melalui sistem i-Visit di laman web www.prison.gov.my , panggilan telefon dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan.

“Pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat. Orang awam boleh menghubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut atau melalui laman web www.prison.gov.my ,” katanya.

Selain itu, keluarga yang memilih kaedah bersemuka perlu membuat ujian RT-PCR atau ARTK-Ag (swab/saliva) dalam sah laku tiga hari selepas pengambilan sampel dan tidak bergejala sebelum hadir ke institusi berkenaan, di samping membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan.

“Pelawat adalah tertakluk kepada akta dan peraturan penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara,” menurut kenyataan itu.


Pengarang :