EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (tengah) dan Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Sharipah Marhaini Syed Ali (empat, kiri) bersama 10 usahawan terbaik sempena majlis Anugerah Usahawan Petaling Jaya di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 9 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Kursus anjuran MBPJ bantu usahawan mikro tingkat jualan, kembang niaga

PETALING JAYA, 10 DIS: Usahawan mikro mengakui kursus ditawarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mampu meningkatkan hasil jualan sehingga 100 peratus.

Pemilik Premium Beautyshop By Rozi, Roziah Shahrin berkongsi permulaannya dalam bidang perniagaan hanya menjual kerongsang di pasar malam seterusnya berkembang dengan jualan kosmetik melalui kiosk di Kota Damansara.

Menurutnya, sebelum ini kaedah promosi dilakukan hanya secara fizikal dan berkunjung dari rumah ke rumah kemudian beralih secara dalam talian selepas mengikuti kursus MBPJ.

“Setiap hari saya promosi di Facebook dan TikTok, Alhamdulillah jualan semakin meningkat hampir 100 peratus, jika sebelum ini RM10,000 sebulan sekarang boleh capai lebih RM15,000.

“Pelanggan pun bukan sahaja dari Selangor malahan dari serata negeri dengan tempahan dibuat mereka secara dalam talian. Terima kasih MBPJ kerana menganjurkan kursus ini,” katanya.

Roziah adalah antara 10 usahawan berjaya dan menerima anugerah disampaikan EXCO Keusahawanan Rodziah Ismail pada Majlis Anugerah Usahawan Petaling Jaya 2022 di Dewan Sivik MBPJ di sini semalam.

Manakala peniaga Ulam Mamu Baharudin Abd Razack ketika ditemui berkata meski hanya berniaga ulam-ulaman tetapi kaedah promosi secara dalam talian amat membantu.

“Sebelum ini saya fikir tidak perlu jual dalam talian tetapi selepas buka akaun TikTok Alhamdulillah hasil jualan meningkat sekali ganda, ramai orang membuat tempahan.

“Insya-Allah selepas ini berhasrat mahu masukkan produk buatan saya iaitu petai jeruk dengan jenama Ulam Mamu ke pasar raya selain mempergiat lagi promosi secara maya.

“Terima kasih juga kepada MBPJ kerana beri peluang kepada kami,” katanya yang berniaga lebih 10 tahun di pasar malam sekitar Petaling Jaya.

Latihan keusahawanan itu merupakan program di bawah Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Petaling Jaya 2021-2030 yang dilancarkan Mac lalu.

Pelan itu bagi memastikan hala tuju pembangunan usahawan dapat dicapai dan tidak ketinggalan berdasarkan konsep perniagaan masa kini ke arah pendigitalan.


Pengarang :