Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan surat kelulusan hak milik individu Bandar Sungai Buaya pada program Jelajah Selangor Penyayang di Persiaran As Salam Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 4 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lagi 50 penduduk Bandar Sungai Buaya terima surat hak milik tanah

HULU SELANGOR, 5 DIS: Seramai 50 penduduk di Bandar Sungai Buaya menerima surat pertukaran hak milik tanah pada Jelajah Selangor Penyayang Hulu Selangor semalam.

Penyerahan dilakukan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selepas 100 penduduk menerima surat hak milik pada 16 November lalu.

Mahmod Mad Ali

Sekretariat badan bukan kerajaan (NGO) Bandar Sungai Buaya berkata pihaknya berjuang menukar hak milik tanah lebih 15 tahun dan bersyukur apabila penduduk termasuk dirinya menerima surat tersebut.

“Kita telah perjuangkan isu hak milik tanah agak lama dan menghadapi masalah kerana pemaju lama muflis. Terima kasih Kerajaan Negeri kerana merealisasikan hasrat penduduk kerana ada segelintir mereka pada dahulunya meragui diberikan hak milik tanah.

“Dengan penukaran hak milik tanah ini diyakini akan membangunkan kawasan Bandar Sungai Buaya kerana kini nilai hartanah mula meningkat,” kata Mahmod Mad Ali.

Faizul Mohd Nokhtar

Penjawat awam, Faizul Mohd Nokhtar, 33, berkata beliau menunggu penukaran hak milik lebih lima tahun dan berasa gembira apabila dimaklumkan berhubung perkara tersebut.

“Ketika beli tanah di sini ia berstatus geran kelompok dan pemaju lama muflis menyebabkan urusan tergendala. Apabila dimaklumkan pertukaran status, berasa sangat gembira kerana ini yang sering dinanti.

“Apabila status tanah bertukar, kita mudah mengambil tindakan atau mudah uruskan jika berlaku sebarang perkara tidak diingini,” katanya.

Yap

Pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Yap, 40-an, berkata beliau membeli tanah di kawasan itu sejak 20 tahun lalu dan ketika itu tiada pembangunan lagi.

“Kini kawasan itu sudah mula membangun dan pelbagai kemudahan seperti tol yang memudahkan terutama ke Kuala Lumpur.

“Berita pertukaran hak milik amat menggembirakan dan berharap kawasan ini lebih maju khususnya untuk penduduk,” katanya.

Bandar Sungai Buaya pada asalnya adalah kawasan felda yang dibatalkan pewartaan Akta Tanah (kawasan penempatan berkelompok) 1960 pada 1995.

Pembatalan itu selaras pemohonan daripada pemilik tanah bagi membolehkan kawasan terbabit dibangunkan namun pemaju yang dilantik gagal memajukan akibat kemelesetan ekonomi.

Menjelang Mac depan, seramai 3,580 penduduk Bandar Sungai Buaya akan menerima surat hak milik tanah secara berperingkat.


Pengarang :