EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim (kanan) menerima cenderamata daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping sempena program Jelajah Usahawan Digital Selangor siri 5 di Hotel Crystal Crown, Pelabuhan Klang, Klang pada 10 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMA

Lebih 400 sertai anugerah peniaga e-dagang edisi ketujuh

KLANG, 10 DIS: Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) menerima 440 penyertaan tahun ini berbanding 160 pada 2021 untuk menyertai Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM).

Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping berkata menerusi pertandingan edisi ketujuh itu, 240 syarikat sudah disenarai pendek.

“Top ECM merupakan anugerah berprestij yang bertujuan memberi penghargaan kepada peniaga e-dagang tempatan yang paling berjaya, kreatif, inovatif dan tahun ini 440 syarikat diterima berbanding tahun lalu 160.

“Pedagang yang mengambil bahagian dapat memanfaatkan peningkatan pengiktirafan dan berpeluang meningkatkan penjenamaan jenama mereka di dalam industri selain merebut hadiah terkumpul bernilai RM60,000 dalam bentuk wang tunai,” katanya sambil menambah majlis itu akan diadakan minggu depan.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 siri kelima hari ini yang dirasmikan EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim.

Top ECM 2022 anjuran Sidec mendapat kerjasama daripada Affin Bank Berhad sebagai penaja utama sementara Subplace menjadi platform e-dagang rasmi dan Federal Express Services (FedEx) Malaysia, rakan logistik rasmi.

Ia akan menampilkan tiga anugerah utama iaitu Malaysia Top E-Commerce Merchant Awards, Selangor E-Commerce Merchant Awards dan Affin Bank Special Awards (Rising Star dan AFFINGEM Women Trailblazer Awards).

Peserta akan dinilai oleh panel hakim dari Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), Internet Alliance (IA) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).


Pengarang :