Legenda bola sepak Brazil dan duta kehormat Piala Dunia 2014 Pele tersenyum semasa sidang akhbar menjelang undian awal di Rio de Janeiro, Brazil pada 29 Julai 2011. Foto REUTERS
AGENDASUKANKINI

Legenda bola sepak Brazil Pele meninggal dunia akibat barah kolon

SAO PAULO, 30 DIS: Legenda bola sepak Brazil Pele dan juara Piala Dunia tiga kali, meninggal dunia Khamis pada usia 82 tahun di sebuah hospital di Sao Paulo akibat barah kolon.

“Semua yang boleh kami nyatakan adalah ucapan terima kasih. Kami sayang awak tak terhingga. Rehat dengan tenang,” menurut catatan anak perempuannya, Kely Nascimento di Instagram pada Khamis.

Dilihat sebagai pemain terhebat sepanjang zaman dan dinamakan “terhebat” oleh FIFA, Pele membantu Brazil menjulang tiga Piala Dunia pada 1958, 1962, dan 1970, lapor Agensi Anadolu.

Sepanjang kerjayanya yang cemerlang, Pele menjaringkan 77 gol dalam 92 penampilannya untuk Brazil.

Digelar “Mutiara Hitam,” beliau juga memegang rekod penjaring gol paling banyak dengan meledak 1,283 gol dalam 1,363 perlawanan, termasuk perlawanan persahabatan.

Kematian Pele menyedihkan dunia bola sepak.

Kelab Brazil, Santos, ketika Pele menikmati kemuncak kariernya, menyiarkan gambar mahkota yang disertai dengan satu perkataan: “Abadi.”

Banyak kelab bola sepak, termasuk Pasukan Kebangsaan Inggeris; Real Madrid dan Barcelona; Kelab Inggeris Manchester City, Manchester United dan Chelsea; Kelab Itali Roma, Inter Milan, dan Juventus, kelab Jerman Bayern Munich dan Borussia Dortmund; Galatasaray dan Fenerbahce di Türkiye; dan kelab bola keranjang Greece Panathinaikos, turut mengucapkan takziah selepas kematian Pele.

Bintang Argentina Lionel Messi berkongsi gambar dengan Pele di akaun Instagram rasminya dengan catatan “Berehat dengan tenang.”

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo turut berkongsi gambar dirinya bersama legenda Brazil itu sambil berpegangan tangan, dengan ucapan takziah.

Beliau menulis bahawa Pele tidak akan dilupakan dan memori tentang dirinya akan kekal dalam ingatan setiap pencinta bola sepak.

“Raja bola sepak telah meninggalkan kami tetapi legasinya tidak akan dilupakan. RIP KING,” tulis bintang Perancis Kylian Mbappe dalam ciapan di Twitter.

Bekas pemain tengah Jerman Mesut Ozil menerusi ciapan di Twitter: “Berehatlah dengan tenang wahai legenda bola sepak yang paling hebat.”

Ramai lagi tokoh terkenal di seluruh dunia turut memberi reaksi terhadap pemergian Mutiara Hitam, termasuk Presiden Perancis Emmanuel Macron, bekas juara Piala Dunia Cafu dari Brazil, legenda tenis Rafael Nadal, pemain Inggeris Harry Maguire dan Jamie, Vardy, pemain Sepanyol Sergio Ramos dan Iker Casillas .

-BERNAMA


Pengarang :