AGENDANASIONAL

Lelaki samun kedai emas guna pistol mainan dicekup kurang setengah jam

SHAH ALAM, 7 DIS: Seorang lelaki bersenjatakan pistol mainan ditahan polis kurang setengah jam selepas menyamun sebuah kedai emas di Jalan Sultan Iskandar, Ipoh petang semalam.

Ketua polis daerah Ipoh berkata suspek kononnya ingin membeli rantai emas, namun mengambil barangan itu sambil mengacukan ‘pistol’ kepada pekerja dan terus melarikan diri, lapor Berita Harian.

Asisten Komisioner Yahaya Hassan menjelaskan suspek, 32, kemudian dikejar beberapa orang awam sebelum dikesan dua anggota dari Balai Polis Pasir Puteh yang menerima maklumat.

“Dibantu pasukan Balai Polis Pekan Bahru, suspek berjaya ditangkap. Semasa tangkapan, polis turut merampas sepucuk pistol mainan plastik yang disimpan dalam beg silang milik suspek,” katanya.

Yahaya mengakui kejayaan menyelesaikan kes samun itu dalam tempoh kira-kira 30 minit adalah hasil kerjasama orang awam yang prihatin dan kepantasan tindak balas polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk permohonan reman.


Pengarang :