Orang ramai beratur untuk membeli barangan keperluan asas dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di medan selera Tasik Biru, Kundang, Kuang pada 6 Disember 2022. Foto Ihsan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lima barangan asas habis dalam sejam, ratusan penduduk kunjungi jualan murah

Oleh AZIAN AZIZ

SELAYANG, 7 DIS: Tidak sampai sejam, lima barangan asas dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di medan selera Tasik Biru, Kundang, Kuang habis dijual.

Pengurus Ladang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Sungai Tengi Selatan Azman Jamaludin berkata barangan yang habis dijual itu ialah ayam, telur, beras, ikan dan daging.

“Kira-kira 450 penduduk datang ke jualan murah ini dan mula beratur pada pukul 10 pagi namun tidak sampai satu jam barangan yang dijual mula habis,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Azman Jamaludin

Menurut Azman ramai pengunjung yang datang jam 11 pagi hanya dapat membeli minyak masak selain pulang begitu sahaja kerana mereka mencari ayam dan telur.

“Program seterusnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang ialah tahun depan. Jadi saya minta semua penduduk datang awal dan kepada yang tidak dapat beli tunggu program seterusnya nanti,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Rosfazila Razali, 37, dari Kundang Estet berkata, dia yang tiba pada pukul 11.10 pagi hanya dapat membeli minyak masak.

“Ini kali pertama saya datang membeli dalam program jualan murah. Lepas ini saya mahu datang awal,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Azariah Abd Aziz, 53, dari Tasik Biru, Kundang berkata dia tidak menyangka barangan seperti ayam dan telur habis awal.


Pengarang :