Seorang wanita meredah air yang melimpahi jalan ekoran hujan lebat berterusan semasa tinjauan di Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu pada 9 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lima negeri berisiko bah dalam tempoh 24 jam jika hujan lebat berterusan

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Beberapa kawasan di Johor, Pahang, Terengganu, Sarawak dan Perak berisiko mengalami banjir kilat dalam tempoh 24 jam jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan, menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Notis PRABN yang dikeluarkan 5 petang tadi memaklumkan dua daerah dan kawasan sekitarnya yang terlibat di Johor ialah Kota Tinggi (Sedili Besar) dan Mersing (Triang), manakala di Pahang melibatkan daerah Kuantan (Sungai Karang) dan Rompin (Endau dan Rompin).

Di Terengganu juga melibatkan dua daerah dan kawasan sekitarnya iaitu Kuala Terengganu (Batu Buruk, Chendering dan Kuala Terengganu) serta Marang (Bukit Payung, Pulau Kerengga dan Rusila) manakala di Sarawak melibatkan daerah Mukah (Pekan Matu).

Sementara itu, di Perak enam daerah dan kawasan sekitar yang dijangka terjejas ialah Hilir Perak (Changkat Jong dan Durian Sebatang); Kerian (Bagan Serai, Kuala Kurau dan Parit Buntar); Larut, Matang dan Selama (Bukit Gantang, Sungai Limau, Pengkalan Aor dan Jebong); Bagan Datuk (Pekan Simpang Empat); Kampar (Kampar) dan Perak Tengah (Bota, Layang-Layang, Pasir Salak dan Pasir Panjang Hulu).

Notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan kemungkinan berlaku banjir kilat dalam tempoh tersebut.

“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Sila layari laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” menurut notis itu. – BERNAMA

 


Pengarang :