Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat Borhan Aman Shah (kanan) membantu memasang katil yang disumbangkan kepada pesakit, Chomek Karto, 75, di Kampung Ladang Batu, Kuala Langat pada 20 Disember 2022. Foto Facebook Borhan Aman Shah
ADNSELANGOR

Lima pesakit warga emas sekitar DUN Tanjung Sepat terima bantuan

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 28 DIS: Lima pesakit warga emas sekitar Tanjung Sepat, Kuala Langat menerima bantuan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat Borhan Aman Shah dalam program ziarah kasih pada minggu lalu dan kelmarin.

Pada 26 Disember, empat warga emas menerima bantuan berbentuk bakul makanan, lampin pakai buang dan wang tunai yang disampaikan oleh pegawai khas Borhan, Rukiyah Kolam Chery.

Rukiyah memberitahu pihaknya menyantuni Wan Teh Musa, 86, yang lumpuh akibat stroke di Kampung Sungai Lang Tengah, Suliman Simoon, 70, pesakit orang kurang upaya (OKU) dan adiknya, Norihah Simoon, 60, pesakit buah pinggang di Kampung Sungai Lang Baru dan Yunus Simoon, 68, di Taman Beringin.

“Kesemua mereka turut menerima pemeriksaan kesihatan percuma yang dilakukan oleh Pasukan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat.

“Program ziarah ini merupakan aktiviti mingguan pasukan ADN Tanjung Sepat,’’ katanya ketika dihubungi.

Pegawai Khas ADN Tanjung Sepat Rukiyah Kolam Chery (tiga, kanan) bersama petugas Pusat Khidmat Masyarakat Tanjung Sepat ketika menyerahkan bantuan kepada pesakit, Wan Teh Musa, 86, ketika program ziarah kasih di Kampung Sungai Lang Tengah, Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 26 Disember 2022. Foto Facebook Borhan Aman Shah

Sementara itu, dalam program ziarah di Kampung Ladang Batu pada 20 Disember lalu, Borhan menyampaikan sumbangan katil hospital kepada Chomek Karto, 75, yang lumpuh akibat penyakit saraf.

Chomek turut menerima bantuan kewangan melalui ketua kampung di situ.

Menurut Rukiyah, pasukan ADN Tanjung Sepat turut membuka kaunter pendaftaran Skim Insurans Am Selangor (INSAN) di tiga tempat iaitu kedai kopi Kampung Indah, Balai Raya Kampung Kundang dan Masjid Sungai Lang Baru.

“Lebih 200 penduduk mendaftar untuk INSAN di kaunter kami semalam,’’ katanya.

 


Pengarang :