Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama sebahagian pimpinan utama HARAPAN selepas sidang media di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya pada 19 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) mengangkat tangan selepas sidang media di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya pada 20 November 2022. Turut sama Presiden Parti Ikatan Demokratik (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kiri), Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu (dua, kiri), Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook (tiga, kanan), Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua, kanan) dan Ketua Wanita KEADILAN Fadhlina Siddiq (kanan). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Loke tegaskan DAP sokong Anwar sebagai PM tanpa sebarang syarat

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini berkata satu-satunya objektif DAP dalam menyertai Kabinet adalah untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjayakan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata sekiranya Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar berjaya, ia sekali gus meraih kejayaan buat negara.

“Itu sahaja objektif dalam penyertaan ini (Kabinet), kita akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendokong kepimpinan beliau (Anwar) dan buktikan DAP ikhlas dalam usaha dan perjuangan bagi menjayakan Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini.

Loke berkata memandangkan DAP menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri tanpa syarat, parti itu sedia berkorban apa sahaja sebagai komitmen kepada Anwar.

“Kita menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa syarat, jadi seperti yang saya katakan tadi, pada 22 November sebelum beliau pergi ke Istana Negara, saya menyatakan, selagi anda (Anwar) boleh menjadi Perdana Menteri, DAP sanggup berkorban apa sahaja, itu komitmen saya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Kepada soalan mengenai pelantikan empat menteri dari parti itu, Loke berkata nama-nama yang dicadangkan kepada Perdana Menteri untuk membarisi Kabinet telah mengambil kira kesesuaian pemimpin dalam bidang portfolio berkenaan, penglibatan wanita dan kaum India.

Beliau berkata DAP menghormati keputusan Perdana Menteri melantik empat ahli parti itu iaitu beliau sendiri sebagai Menteri Pengangkutan, Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan), Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) dan V. Sivakumar (Menteri Sumber Manusia).

“Ini merupakan antara pertimbangan kita yang telah dicadangkan kepada PM tetapi kita hormati prinsip bahawa keputusan akhir berada di tangan Perdana Menteri kita. Kita sebagai parti komponen di dalam Pakatan Harapan sentiasa ada perbincangan dan rundingan, tetapi kita perlu hormat bahawa keputusan berkenaan jemaah menteri terletak di atas budi bicara Perdana Menteri,” katanya.

Ditanya mengenai Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi kes mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau berkata perkara itu (kes mahkamah) adalah di bawah bidang kuasa mahkamah.

“Itu (kes Ahmad Zahid) terpulang kepada mahkamah, ada proses mahkamah sedang berjalan. Kita dalam Kabinet hanya membincangkan agenda negara bukan agenda kes masing-masing, tidak akan disentuh dan bincang kes peribadi, hanya agenda rakyat dan negara,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Istiadat Pengurniaan sebagai perdana menteri ke-10 di Istana Negara pada 24 November 2022. Foto BERNAMA

Sementara itu Loke berkata mesyuarat di antara Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang diadakan sehari selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) telah memberi mandat untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 dan menubuhkan kerajaan persekutuan tanpa syarat.

Beliau turut menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas perkenan baginda untuk melantik empat menteri daripada DAP, selain merakamkan penghargaan kepada Anwar di atas kepercayaan beliau terhadap ahli DAP dalam membarisi kabinetnya.

Sementara itu, Loke berkata nama-nama bagi barisan timbalan menteri belum diserahkan kerana fokus kerajaan buat masa ini adalah bagi membentuk Kabinet dalam kalangan menteri. – BERNAMA


Pengarang :