BUDAYARENCANA

Loncat tak sampai

Oleh Farahin W

Teriakan Cong San Aung menggoncang malam. Malam ini sejuk, hatinya tidak. Kata Cong Maiah, kita bukan macam toyol yang diseru-seru demi wang. Kita juga bukan macam hantu raya yang mengawal rumah. Atau polong. Atau setidaknya pontianak. Kita ni pocong. Hantu bungkus dengan kulit yang kudisnya masih basah, hitam, berbau pacai dan kapur barus. Beruntung berbau kapur barus. Ada pocong bau macam bangkai. Sial.

“Kau sendiri tahu kan kita ini dihina-hina di sini? Hantu-hantu semuanya tidak mahu menerima kita? Di negara ini, negara kita sendiri, kita dipijak-pijak. Hanya kerana kita hodoh dan kononnya tak berguna? Habis, orang minyak tu bergunakah?”

“Habis? Kau mahu lagi ke sana? Tidaklah! Di sana pocong diperbudakkan. Digunakan orang untuk menakut-nakutkan. Mereka berbuat zalim dan mensyirikkan Tuhan. Lagipun, kita ni hitam. Kurus. Kotor. Bukan macam Siti, Siti. Atau Lang. Mereka putih, wangi. Kadang-kadang mahu dinikahi!” Maiah mengucap taubat. Badannya tergoyang-goyang mengimbang berat.

Aung menggeleng. Badannya terasa lebih hangat daripada biasa. Rasanya ingin berbogel dan berlari mengejar malam.

“Lagi pula, kau punya duit untuk ke sana?” tambah Maiah.

Aung bisu. Di fikirannya, cuma mahukan kebebasan dari negara sial ini. Di sini, pocong-pocong diperas ugut. Kadang dibogelkan dan dirogol orang minyak. Memang aneh. Dikeji kerana hitam dan busuk. Tetap sahaja diperkosa. Bukan itu sahaja, anak-anak kecil sering diculik hantu tetek dan dipaksa menjual sayuran daun kering dengan ulat-ulat kepada hantu-hantu kaya macam toyol. Dan pelesit.

“Beginilah. Aku pernah berbincang dengan Champo. Ada sebuah bot yang dia sediakan untuk kita ke seberang. Di sana, ada tauke yang akan membawa kita masuk.”

“Champo? Champo si hantu air? Kau gila! Aku tak mahu! Dengan keadaan kau berbungkus begini, kau mahu memandu bot? Mati kita ditelan air! Aku tak mahu!” bentak Maiah.

“Kau bodohkah? Champo dan hantu-hantunyalah kemudi bot. Kita duduk saje diam diam. Kau dengar sini. Siapa yang mahu ke negara lain? Tapi, setidaknya di sana kita ada kerja menakutkan orang. Di sini? Kau mahu jadi tukang cuci?” Aung ludah gula-gula getah ke lantai.

“Hah. Sekarang, kau kutip gula-gula getah tu. Kutiplah!”

“Aku boleh menyanyi,” suara Maiah perlahan. Macam hantu nak mati.

“Menjadi penyanyi? Itu semua dah disapu keturunan Siti. Bersaing dengan Lang pula untuk dapatkan perhatian hantu raya. Mereka cantik, Yah. Mereka cantik. Macam kemboja. Kau tu macam pokok getah. Mereka, hantu-hantu kaya tak peduli pun memberi bantuan kepada kita. Dihina lagi ada.”

Berkajang-kajang leteran Aung. Kemelut kesusahan di negara sendiri memang sukar untuk dikatakan. Tiada lagi jalan lain selain bergantung hidup dengan mereka yang berkemampuan. Meskipun pocong-pocong dilayan macam sampah. Diperlakukan macam hamba tapi tak apa. Asalkan ada tempat berlindung dan diberi makan secukupnya. Kalau bernasib baik, bakal dibela sehingga keturunan seterusnya.

Maiah akhirnya akur. Benar juga apa yang dikatakan Aung. Selama ini, di negara sendiri juga tiada apa yang menguntungkan. Berapa banyak anak luar nikah yang lahir kerana ulah orang minyak. Berapa ramai anak gadis yang mati bersalin kerana perangai celaka penanggal.

Malam itu mereka kumpulkan pocong-pocong yang lain. Ada yang diam-diam tak mahu turut serta. Ada yang segar menanti perutusan dari Aung. Misi besar ini adalah demi masa depan yang lebih cerah. Sudah letih disisih dan menerima tohmahan bangsa hantu paling pengotor dan tak bermoral. Kadang-kadang mereka saling menyalahkan namun apalah gunanya saling menghantuk?

Di tepi laut, hantu air sudah bersedia dengan bot-bot mereka. Kata mereka di sana ada seekor lagi hantu air menunggu bersama tauke. Dan di dalam bot, bersama mereka, ada hantu air yang lain. Pocong-pocong ini tak mampu berbuat apa-apa. Tangan terikat dan kaki masing-masing terlekat. Ada yang daging kaki kanan sudah melekat dengan kaki kirinya. Hanyir!

Masing-masing loncat masuk bot. Ada yang berciuman dengan datuk dan nenek pocong yang ditinggalkan. Ada pula yang bersedih-sedih meninggalkan pasangan. Mereka berjanji mahu saling berhubung dan menghantar pesan. Dan kalau salah seorangnya mati, usahlah bermuram durja sehingga ranap bangsa pocong di sini. Khabarkanlah kepada hantu-hantu yang lain, kalau mereka semualah syaitan yang tak berperikehantuan. Persembahkan tubuh-tubuh yang sudah tidak bernyawa ini di hadapan istana mewah mereka. Pesan pada alam, bahawa merekalah yang telah membunuh kehantuan.

“Kalian jangan risau. Segalanya sudah diuruskan. Tauke-tauke sudah carikan kalian Tuan,” Champo memberi jaminan.

Legalah hati pocong-pocong pelarian. Mereka tidak sabar memulakan kerja-kerja demi manusia. Biarlah syirik. Biarlah. Asalkan hidup.

“Jadi, kita akan buat kerja syirik? Itu pekerjaan sial!” Suara Pak Cong Myat menyergah bisu malam.

“Mereka memang terkenal dengan syirik. Menggunakan hantu untuk melariskan jualan. Kalau nasib kita malang, mereka gunakan kita untuk menyantau orang-orang yang mereka benci” jawab Ustaz Cong Hanifi. Tegak.

“Ah! Tapi kan itu perbuatan haram dan salah di sisi undang-undang? Zalim!”, sanggah pocong yang lain.

“Benar. Tapi ingat, tak halal tak apa, janji kaya,” jawab Datuk Dr Cong Khan.

Suasana tiba-tiba bungkam dan Champo kelihatan resah. Wajahnya merah dan liurnya mula berjujuran. Matanya yang terbelalak tetap terbelalak. Aung jadi cacing. Fikirannya mula kacau. Bot tetap dipandu laju – ikut sama keresahan.

“Aku dengar di tepi perairan, ustaz-ustaz menabur garam dan dibacakan ayat-ayat suci,” Champo tak lagi sembunyi takut. Suaranya bergetar, tangannya bergegar.

“Jadi? Apa kata tauke Musa?”

“Mereka paksa kita patah balik.”

Pocong-pocong kelam kabut. Baru sahaja mereka mendapat berita dari tanah air. Katanya tempat tinggal mereka dimusnahkan. Dan kalau mereka pulang, habislah mereka dibunuh. Atau lebih parah lagi diseksa sampai mati. Kalut! Pak Cong Myat tiba-tiba rebah terus ke dalam laut. Tenggelam tak timbul-timbul. Sedang yang lain resah memuji Tuhan.

“Tak boleh! Kita kena teruskan! Kan Tauke sudah berjanji!” Laung Aung.

Selepas berbulan perjalanan, mereka tiba di perairan negara seberang. Belum pun mereka turun dari bot, tubuh mereka sudah pedih dengan bahangnya bacaan ayat-ayat suci. Ada yang tidak sabar lalu terjun. Ada yang memaksa-maksa hantu air untuk patah balik.

“Kita tak boleh mengaku kalah! Kita mesti tembus sempadan. Kita mesti loncat hingga sampai!” Maiah lebih optimis.

Mereka akhirnya bercerai dengan bot – terloncat-loncat merentasi sempadan. Belum pun sempat mengecap kebebasan, tertangkaplah mereka lalu tersumbat ke dalam botol. Tiga ratus ekor pocong semuanya terkurung lalu terlempar semula jauh ke lautan.

Sementara di negara kemanusiaan, Kak Siti Adhara sedang menumpang teksi dan Cik Lang Ragad memesan makanan dalam talian.

 


Pengarang :