Kakitangan Air Selangor menjalankan ujian persampelan air secara berkala bagi mengukur bacaan pencemaran bau (ton) air susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi selepas berlaku pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir. Foto Facebook Air Selangor
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LRA Sungai Semenyih beroperasi semula, satu lagi belum

SHAH ALAM, 25 DIS: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih beroperasi semula setelah mencatatkan bacaan pencemaran bau pada tahap 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut sebentar tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan pengoperasian semula melibatkan proses pembersihan dan rawatan air yang dijangka mengambil masa lebih kurang 12 jam.

“Sejurus itu, bekalan air terawat yang bersih dan selamat akan mula diagihkan secara berperingkat kepada para pengguna di kawasan-kawasan yang terlibat,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sementara itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan tahap bau dua ton masih dikesan di muka sauk LRA Bukit Tampoi.

“Bacaan bau di LRA Bukit Tampoi menunjukkan penurunan bermula jam 1 pagi tadi dan dijangkakan akan menurun kepada 0 ton setelah semua kesan pencemaran di dalam aliran sungai diatasi,” katanya di Facebook.

Semalam, LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dihenti tugas akibat dari tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan Lori membawa muatan itu di Lebuhraya ELITE berdekatan Bandar Serenia di Negeri Sembilan.

Tumpahan 1000 liter pati minyak wangi tersebut telah menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Berikutan insiden pencemaran bau itu menyebabkan 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :