Timbalan Mufti Selangor Prof Madya Dr Miszairi Sitiris (barisan tengah lapan kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini (barisan tengah lapan kanan) bersama pembayar zakat peniagaan bernilai RM11,151,204.10 pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan LZS 2022 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Shah Alam pada 20 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS agih RM2.57 juta zakat kepada enam tahfiz, dua individu

SHAH ALAM, 21 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyampaikan agihan zakat RM2.57 juta kepada enam sekolah dikendalikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) termasuk dua individu.

Daripada jumlah itu sebanyak RM397,800 diberi kepada Sekolah Agama Menengah Muhammadiah Pekan Sabak diikuti Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Pandan Indah (RM183,600).

Turut menerima sumbangan MITS Sepang (RM406,800), MITS Kuala Langat (RM448,200), Maahad Integrasi Tahfiz Sains Teknologi Klang (RM466,200) dan MITS Bagan Terap Sabak Bernam (RM628,200).

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata sebanyak RM27,736 disumbangkan kepada seorang individu yang anaknya menghidap Hunter Syndrome (penyakit jarang jumpa).

“Manakala, sejumlah RM12,000 lagi diberi kepada seorang individu sebagai bantuan pendidikan kepada anaknya yang menghidap Autism,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan zakat perniagaan LZS di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini semalam.

Pada masa sama, Mohd Sabirin berkata seramai 335,000 pengeluar zakat di Selangor termasuk dalam kalangan individu dan syarikat korporat sehingga Oktober lalu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pihaknya mendapati jumlah pembayar yang berpotensi untuk mengeluarkan zakat adalah kira-kira sejuta orang.

“Setakat November lalu, jumlah kutipan zakat lebih RM800 juta dan insya-Allah jika mampu mencapai sasaran tahun ini mungkin kita boleh kutip sebanyak RM1.05 bilion.

“Bagaimanapun, bukan sasaran kutipan ini yang mahu dikejar dan dibanggakan. Apa yang penting, ia menjadi penanda aras untuk berusaha keras memastikan keperluan agihan dipenuhi agar dapat menyantuni kehidupan asnaf sepanjang tahun,” katanya.


Pengarang :