Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghulurkan sumbangan kepada Nik Junainah dan suami di kediamannya di Hulu Langat. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

LZS: Isteri gendong suami sakit terima bantuan kerusi roda, kewangan

Oleh Faizal Nazaruddin

SHAH ALAM, 18 DIS: Kecekalan hidup seorang isteri menggendong suaminya setiap kali mendapatkan rawatan di hospital sehingga menjadi viral baru-baru ini mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan keluarga wanita terbabit yang dikenali sebagai Nik Junainah layak mendapat beberapa jenis bantuan seperti kerusi roda, katil khas dan kewangan.

Gambar tular seorang isteri menggendong suaminya turun naik tangga empat tingkat untuk mendapatkan rawatan di hospital. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor

“Hasil siasatan Zakat Selangor, keluarga ini layak didaftarkan sebagai asnaf miskin. Insya-Allah, mereka akan dibantu dengan bantuan kewangan.

“Selain bantuan ansuran rumah serta perubatan bulanan untuk rawatan penyakit yang dihadapi. Kerusi roda serta katil khas juga akan diberikan kepada suaminya,” katanya.

Nik Junainah sebelum ini menjadi viral di media sosial apabila sanggup turun naik tangga empat tingkat dengan menggendong suaminya untuk dibawa ke hospital Serdang bagi menjalani rawatan.

Empat atau lima kali sebulan menjadi rutin menguruskan suami yang mengalami masalah kesihatan mengidap Psoriasis (masalah kulit kronik), juga mengalami masalah sendi dan masalah hati sejak 12 tahun lalu.

LZS memberitahu Nik Junainah bekerja sebagai guru agama turut menyara dua orang anak yang masih bersekolah..

Pertemuan dan sumbangan kepada keluarga Nik Junainah dilakukan olah Operasi Agihan Asnaf Hulu Langat.


Pengarang :