Petugas Lembaga Zakat Selangor (LZS) melawat satu keluarga yang memerlukan bantuan iaitu seorang bapa yang menghidap diabetes kronik serta dua anak lelakinya di rumah mereka pada 21 Disember 2022. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

LZS santuni keluarga penghidap diabetes, urus bantuan dan tempat tinggal

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 22 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam menyantuni sebuah keluarga tiga beranak yang memerlukan bantuan susulan hilang punca pendapatan akibat sakit.

Agensi itu memaklumkan keluarga itu adalah seorang bapa penghidap diabetes kronik dan dua anak lelaki yang kehilangan upaya akibat penyakit misteri serta orang kurang upaya (OKU) di bahagian kaki kerana kemalangan ketika bekerja,

LZS mendaftarkan keluarga tersebut sebagai asnaf miskin dan bantuan keperluan asas serta tempat tinggal akan diuruskan selepas ini supaya mereka dapat tinggal selesa dan selamat.

“Seorang bapa menghidap diabetes kronik dan baru sahaja dipotong kakinya di bawah paras lutut, beliau sebelum ini berniaga pau dan kehilangan punca pendapatan. Isterinya meninggal dunia sejak enam tahun lalu.

“Beliau tinggal bersama dua anak lelaki yang juga sedang sakit. Kedua-dua anaknya membantu berniaga pau dan kini perniagaan tidak dapat dijalankan akibat kesihatan masing-masing makin merosot dan perlu menguruskan bapa yang baru dipotong kakinya,” katanya menerusi Facebook.

Menurutnya, keluarga itu menyewa rumah agak uzur pada kadar RM150 dan walaupun dalam suasana kekurangan, terserlah kemesraan serta kebahagian mereka dengan anak-anak menjaga bapa dengan baik.

“Semoga Allah kurniakan kesembuhan buat mereka dan kembali menjana pendapatan seperti dahulu,” katanya.


Pengarang :