Oleh DIANA ABD WAHAB
PUNCAK ALAM, 3 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan peruntukan berjumlah RM19 juta bagi membantu penduduk negeri ini terutama asnaf yang terjejas banjir.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata bantuan sekali bayar di bawah program LZS Peduli itu dibuka mulai 21 November 2022 sehingga 31 Januari 2023.
“Bantuan dibuka sejak banjir melanda Shah Alam, Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam baru-baru ini.
“Setakat ini kita hanya terima kira-kira 400 permohonan penduduk yang terjejas. Belum ramai yang mohon kerana tak berlaku banjir besar seperti tahun lalu,” katanya.

Mohd Sabirin berkata bantuan itu bukan hanya memfokuskan golongan fakir miskin tetapi juga untuk golongan bukan asnaf yang berdepan musibah itu.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh layari www.zakatselangor.com.my/peduli.