Timbalan Mufti Selangor Prof Madya Dr Miszairi Sitiris (tengah, berdiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin Mohd Sarbini bergambar bersama 45 wakil syarikat pembayar zakat peniagaan bernilai RM11.1 juta dalam majlis di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Shah Alam pada 20 Disember 2022.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

LZS terima zakat perniagaan RM11.1 juta daripada 45 syarikat

SHAH ALAM, 20 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan daripada 45 syarikat dengan nilai keseluruhan RM11.1 juta.

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia mendahului senarai pembayar zakat dengan RM2.59 juta diikuti QSR Brands (M) Holdings Bhd & Kumpulan (RM1.73 juta) Sirim Berhad (RM1.13 juta) dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (RM1 juta).

Manakala, Radicare (M) Sdn Bhd membayar RM872,794, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (RM500,000), Central Spectrum (M) Sdn Bhd (RM484,021.89) dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (RM312,340).

Timbalan Mufti Selangor Prof Madya Dr Miszairi Sitiris (kanan) menerima cek cura perniagaan yang bernilai RM2,589,368 daripada wakil Bank Rakyat Norahim Buang (tengah) pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Lembaga Zakat Selangor (LZS). Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Mohd Sabirin Mohd Sarbini (kiri) di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Shah Alam pada 20 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata majlis penyerahan zakat di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di sini bertujuan mengiktiraf dan menghargai semua pengeluar zakat yang berusaha menyantuni asnaf.

“Program ini turut dianjurkan supaya menjadi dorongan kepada pengeluar lain atau pihak yang belum mengeluarkan zakat untuk mengikut jejak langkah mereka hari ini.

“Kami berharap ada lagi beberapa syarikat atau individu yang belum tampil membayar zakat sama ada bayar sendiri atau ke kaunter pembayaran di cawangan kami untuk berbuat demikian,” katanya.

Mohd Sabirin berkata pihaknya menyasarkan RM185 juta jumlah kutipan zakat tahun ini dan menyeru lebih ramai tampil menunaikan tanggungjawab berkenaan.

“Pada 2021, daripada RM993 juta kutipan zakat di Selangor, zakat perniagaan berjaya menyumbang sebanyak RM174.9 juta yang merupakan sumbangan kedua tertinggi selepas zakat.

“Tahun ini kita mensasarkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM185 juta. Justeru, hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum masuk tahun baharu kami menggalakkan lebih ramai dapat menunaikan bayaran zakat,” katanya.

Selain tampil ke cawangan LZS, pengeluar zakat juga boleh membuat bayaran melalui perkhidmatan dalam talian seperti EZakatPay, perbankan internet, aplikasi e-dompet, portal MYEG dan pos online.


Pengarang :