Petugas Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni dan menghulurkan bantuan kepada ibu tunggal dan keluarganya di Sabak Bernam pada 15 Disember 2022. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

LZS ziarah, bantu ibu tunggal dan keluarga di Sabak Bernam

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 15 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) meneruskan rutin dengan menyantuni dan menghulurkan bantuan kepada seorang ibu tunggal dan keluarganya di Sabak Bernam, baru-baru ini.

Agensi itu memaklumkan sumbangan disampaikan menerusi Skuad Jejak Kemiskinan LZS bagi meringankan beban wanita tersebut yang tinggal bersama dua anak bersekolah dan menjaga ibunya yang uzur.

Menurutnya, ibu tunggal itu bekerja sebagai buruh pelbagai tidak mampu menyediakan kediaman lebih selesa dan memohon bantuan baik pulih rumah yang uzur.

“Namun permohonan tidak diteruskan kerana rumah pusaka yang dibina di atas tanah orang lain serta tiada kebenaran pemilik tanah,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Bagaimanapun, mereka dicadangkan berpindah ke rumah sewa yang lebih selesa dengan bayaran ditanggung LZS selain memberi bantuan lain bagi meringankan beban.

LZS turut mengucapkan terima kasih untuk pengeluar zakat.

Program turun padang yang diperkenalkan LZS sejak 2011 berjaya mengenal pasti golongan asnaf dengan menggunakan kaedah bancian dalam menentukan jenis bantuan bersesuaian.


Pengarang :