Pemain Maghribi Achraf Dari dan Walid Cheddira meraikan kejayaan pasukan selepas menentang Portugal pada suku akhir Piala Dunia 2022 di Stadium Al Thumama, Doha, Qatar pada 10 Disember 2022. Foto REUTERS
AGENDASUKANKINI

Maghribi tewaskan Portugal, Perancis ke separuh akhir

SHAH ALAM, 11 DIS: Maghribi mengalahkan Portugal 1-0 pada perlawanan suku akhir Piala Dunia 2022 di Stadium Al Thumama, Doha, Qatar malam tadi.

Gol tunggal yang mencipta sejarah buat pasukan itu melangkah ke separuh akhir dijaringkan Youssef En-Nesyri pada minit ke-42 dengan tandukan deras melepasi penjaga gol Portugal Diogo Costa.

Portugal yang cuba mendapatkan jaringan memiliki beberapa peluang termasuk menerusi Bruno Fernandes dengan tendangan terkena palang pada akhir separuh masa pertama.

Usaha digandakan dengan memasukkan ketua pasukan Christiano Ronaldo pada babak kedua namun Portugal gagal mengubah keputusan hingga perlawanan berakhir.

Maghribi akan bertemu Perancis, dalam separuh akhir selepas pasukan itu berjaya mengenepikan cabaran England 2-1 dalam satu lagi aksi suku akhir di Stadium Al Bayt, Al Khor, Qatar.

Juara bertahan itu mendahului pada minit ke-17 hasil jaringan Aurelien Tchouameni dan kedudukan kekal hingga tamat babak pertama perlawanan.

England menjadikan keputusan 1-1 menerusi ketua pasukan Harry Kane selepas sembilan minit permainan bersambung dengan sepakan penalti menewaskan panjaga gol Perancis Hugo Lloris.

Bagaimanapun Olivier Giroud menjaringankan gol untuk meletakkan Perancis di depan pada minit ke-78 dan pasukan lawan terlepas peluang menyamakan kedudukan enam minit sebelum permainan berakhir apabila dihadiahkan penalti dengan Kane menendang melepasi palang gol.


Pengarang :