Timbalan Setiausaha (Operasi) Majlis Agama Islam (Mais) Nurhani Salwa Jamaluddin (tiga dari kiri) dan wakil Rakan Strategik Agihan Fidyah Mais bergambar pada majlis penyerahan replika cek dan kotak makanan kering di Kampung Orang Asli, Batu 12, Gombak, Selangor pada 27 Disember 2022. Foto Mais
AGENSISELANGOR

Mais agih bantuan makanan ringan beban 1,199 keluarga Orang Asli

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 27 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan kotak makanan kering yang keseluruhannya bernilai RM218,880 kepada 1,199 keluarga masyarakat Orang Asli.

Timbalan Setiausaha (Operasi) Mais Nurhani Salwa Jamaluddin berkata sumbangan diberikan kepada masyarakat Orang Asli beragama Islam dan bukan Islam di seluruh negeri itu.

“Daripada jumlah keseluruhan bantuan tersebut, RM150,000 diagihkan kepada 625 keluarga masyarakat Orang Asli beragama Islam dengan menggunakan sumber peruntukan wang fidyah MAIS.

“Baki RM68,880 lagi diagihkan kepada 574 keluarga masyarakat Orang Asli bukan Islam dengan menggunakan sumber peruntukan baitulmal Mais,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Nurhani Salwa menyampaikan bantuan tersebut kepada Penolong Pengarah Kanan Unit Ukhuwah, Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Abdul Hadi Abdullah pada majlis penyerahan replika cek dan kotak makanan kering di Kampung Orang Asli Batu 12, Gombak.

Menurut Nurhani Salwa, sumbangan itu usaha dakwah Mais dalam membantu meringankan kos perbelanjaan harian masyarakat Orang Asli di bawah kategori B40 dengan setiap keluarga menerima makanan kering seperti beras, susu, gula, tepung dan minyak masak bernilai RM120.

“Sumbangan dilaksanakan dengan kerjasama Rakan Strategik Agihan Fidyah Mais yang terdiri daripada JAIS, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan serta masjid dan surau di daerah terlibat,” katanya.

Menurutnya sehingga kini Mais telah mengagihkan wang fidyah berjumlah RM3.3 juta dengan jumlah penerima sumbangan 20,931 keluarga.

Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah boleh melayari laman web MAIS di www.mais.gov.my atau bayaran boleh dibuat terus menerusi fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php


Pengarang :