Timbalan Setiausaha (Operasi) Mais Nurhani Salwa Jamaluddin menyampaikan cek cura berjumlah RM200,000 kepada Ketua Hakim Syarie JAKESS Dato’ Mohammad Adib Husain pada 17 Disember 2022. Foto Mais.
AGENSISELANGOR

Mais sumbang RM200,000 kepada Jabatan Kehakiman Syariah negeri

Oleh Faizal Nazaruddin

SHAH ALAM, 17 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyerahkan sumbangan RM200,000 kepada Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) bagi membantu pelaksanaan Hakam di negeri ini.

Majlis penyerahan cek cura disampaikan Timbalan Setiausaha (Operasi) Nurhani Salwa Jamaluddin kepada Ketua Hakim Syarie Dato’ Mohammad Adib Husain, di sini semalam.

Agensi itu berkata sumbangan terbabit menggunakan peruntukan baitulmal bertujuan untuk menampung segala kos yang bersangkutan dengan pelaksanaan fungsi, elaun dan tadbir urus Hakam Negeri Selangor.

“Jawatankuasa Hakam Negeri Selangor antara fungsinya adalah mencadangkan pelantikan anggota panel Hakam yang bertanggungjawab menamatkan syiqaq (perselisihan) antara suami dan isteri dengan cara mendamaikan atau memisahkan kedua-duanya,” katanya menerusi Facebook.

Jawatankuasa terbabit juga bertanggungjawab menasihati Mais dalam menentukan perkara berkaitan pelaksanaan hakam yang dilaksanakan menurut Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2004.

Mais menjelaskan seramai 62 Hakam Selangor sejak 2015 hingga 2022 dilantik dan anggota panel tersebut menjalankan tugas mereka sebagai Hakam bagi mengendalikan kes perceraian dan pembubaran perkahwinan.

“Secara keseluruhan, Mais telah menyumbang sebanyak RM700,000 pada tahun ini bagi membantu pelaksanaan Hakam Negeri Selangor,” ujarnya.

Mais berharap agar sumbangan dapat membantu pelaksanaan Hakam khususnya di Negeri Selangor bagi memastikan fungsi dan jawatankuasa tersebut dapat dilaksanakan dengan baik.


Pengarang :