Surau bergerak yang disediakan Majlis Agama Islam (Mais) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) dekat tapak tanah runtuh Batang Kali. Foto Majlis Agama Islam Selangor
AGENDANASIONAL

Mais, Yide sedia surau bergerak di lokasi tragedi tanah runtuh

SHAH ALAM, 21 DIS: Majlis Agama Islam (Mais) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyelaras surau bergerak di tapak bencana tanah runtuh di Batang Kali.

Surau bergerak berkenaan hasil usaha sama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Dakwah dan Kebajikan Disa Mahabbah atau dikenali sebagai D’Mahabbah.

“Mewakili Yide dalam proses penghantaran dan penyerahan surau bergerak ini adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yide, Suhaimi Ismail, dan diserahkan kepada Penolong Pegawai Tadbir Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Daerah Hulu Selangor, Nor Azizah Sarjo.

“Insya-Allah dengan adanya kemudahan surau bertutup seumpama ini dapatlah khususnya untuk golongan wanita menggunakan sepanjang bertugas,” kata Mais di Facebook hari ini.

Menurut Mais, surau bergerak itu mampu memuatkan 15 orang dalam satu masa selain memiliki kelengkapan seperti mengambil wuduk yang tersedia di lokasi strategik.

“Semoga bermanfaat kepada semua yang menggunakan dan marilah kita sama-sama mendoakan agar pasukan keselamatan terus cekal dalam meneruskan mangsa mangsa yang masih tidak ditemui,” katanya.

Yide merupakan anak syarikat Mais yang bertanggungjawab mengurus dan menyelia hal ehwal kebajikan anak-anak yatim dan bantuan musibah kepada masyarakat Islam di Selangor.


Pengarang :