Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menghulurkan sumbangan makanan kepada petugas di lokasi tragedi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada 17 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Mais, Yide serah sumbangan makanan kepada petugas lokasi tanah runtuh

SHAH ALAM, 17 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menghulurkan sumbangan makanan kepada petugas di lokasi tragedi tanah runtuh di Batang Kali hari ini.

Menurut Mais, sumbangan berupa makanan kering itu diserahkan kepada hampir 400 petugas yang menyertai misi operasi menyelamat di tapak perkhemahan tersebut.

“Mais diwakili oleh Ketua Audit Dalam Zaharudin Salim dan Pengarah Pembangunan Sosial Suhaimi Ismail, yang turun menyalurkan sumbangan kepada petugas-petugas agensi keselamatan yang terlibat.

“Kita doakan agar mereka yang ditimpa musibah kejadian tanah runtuh ini dapat ditemukan segera dan keluarga mangsa tabah dan sabar dengan ujian yang menimpa” maklum agensi itu di Facebook.

Turut hadir ke lokasi ialah Engku Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor Raja Dato’ Muzaffar Raja Redzwa dan Penolong Pegawai Daerah Hulu Selangor, Azizan Mat Hashim.

Dalam insiden sekitar 2.42 pagi semalam, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Jalan Genting-Batang Kali, Hulu Selangor.

Setakat malam ini, 24 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.


Pengarang :