Kerajaan perpaduan ditubuhkan atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ekoran negara mengalami situasi Parlimen tergantung.
Kerajaan perpaduan yang terbentuk adalah langkah penting dalam menamatkan kemelut ketidaktentuan politik dan Parlimen tergantung yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah negara.
Berikut sembilan soal jawab mengenai kerajaan perpaduan:
1. Apakah maksud kerajaan perpaduan?
Kerajaan perpaduan merupakan satu kerajaan yang menggabungkan parti politik yang menuntut semua
pemimpin terlibat untuk mengenepikan kepentingan politik dan parti masing-masing demi kepentingan
rakyat dan negara.
2. Bagaimana proses pembentukan sesebuah kerajaan perpaduan?
Kerajaan terbentuk daripada kemenangan majoriti parti dipilih menerusi amalan demokrasi berparlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 113 hingga Perkara 120 berserta Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan perpaduan dibentuk atas titah nasihat Agong selepas negara berdepan keadaan parlimen tergantung dengan bukti hemat dan kebijaksanaan Seri Paduka.

3. Adakah anda tahu apakah proses pemilihan Perdana Menteri di bawah bidang kuasa Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?
Agong menggunakan kebijaksanaan bersandarkan panduan Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan seorang Perdana Menteri.
Perlembagaan Persekutuan Perkara 43(2)(b) yang menyebut Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.
4. Kenapa perlu penjajaran baru parti-parti menang untuk pembentukan kerajaan?
Keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada blok parti yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, menjadikan Parlimen tergantung yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah negara. Justeru itu, ia memerlukan penjajaran baru parti-parti menang untuk pembentukan kerajaan.
5. Apakah peranan Perdana Menteri?
- Menasihati Agong
- Ketua kerajaan
- Membuat keputusan dasar kerajaan
- Menentukan perjalanan dan tadbir urus Kabinet
6. Apakah keunikan pelantikan Menteri Kabinet dalam kerajaan perpaduan?
Kerajaan perpaduan diwakili oleh ahli parlimen pelbagai bangsa, agama dan rentas wilayah dengan
pelbagai kepakaran dan pengalaman bersama-sama untuk membina Malaysia yang stabil, maju dan makmur.

7. Bagaimanakah sistem demokrasi berparlimen dijadikan asas untuk menyelesaikan kemelut
Parlimen tergantung?
Demokrasi Berparlimen bermaksud rakyat melibatkan diri dalam sistem pemerintahan negara.
Raja-Raja Melayu pula menjadi lambang taat setia rakyat. Melalui sistem ini rakyat berpeluang
membentuk kerajaan. Rakyat bebas memilih perwakilan melalui pilihan raya. Dalam pilihan raya,
rakyat berhak menyokong, mengekal atau menukarkan kerajaan yang sedia ada dalam proses pengundian semasa pilihan raya.
Bagaimanapun, apabila parlimen tergantung kerana tiada mana-mana gabungan parti berjaya mendapat
majoriti mudah bagi membentuk kerajaan, kuasa budi bicara Agong untuk melantik Perdana Menteri memainkan peranan penting dalam memecah kebuntuan ini.
8. Adakah pelantikan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan di bawah bidang kuasa Perdana Menteri?
Tidak. Pelantikan Jemaah Menteri bukan di atas kuasa penuh Perdana Menteri tetapi berdasarkan cadangan nama ahli parlimen daripada parti yang bersetuju untuk membentuk kerajaan perpaduan.
9. Apakah peranan dan tanggungjawab rakyat Malaysia dalam negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen?
Rakyat hendaklah mematuhi undang-undang negara dan menghormati prinsip Rukun Negara. Sentiasa
mengamalkan nilai murni dalam kehidupan dan menjaga keharmonian serta perpaduan antara masyarakat.
Rakyat juga perlu menyokong dan tidak mempertikai serta memberi peluang kabinet Kerajaan Perpaduan
membuktikan kemampuan untuk membentuk semula negara selepas mengalami beberapa siri ketidakstabilan politik dan ekonomi sebelum PRU15.
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia