AGENDASUKANKINI

Malaysia tuan rumah kejohanan jelajah dunia BWF Super 100

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Malaysia antara tiga negara baharu yang disenaraikan sebagai tuan rumah untuk acara Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Super 100 bagi 2023 dan 2024.

BWF dalam kenyataannya hari ini memaklumkan kejohanan yang dikenali sebagai Malaysia Super 100 itu akan diadakan pada 31 Oktober hingga 5 November tahun depan dan 15-20 Oktober 2024.

“Sirkit Super 100 mengalu-alukan tuan rumah baharu dari China Taipei, Malaysia dan UAE (Emiriah Arab Bersatu). Anggota tuan rumah boleh mengadakan sehingga enam kejohanan setiap tahun termasuk maksimum dua kejohanan Super 100.

“Indonesia dan India akan mengadakan dua kejohanan Super 100 masing-masing pada 2023 dan 2024. Kejohanan Super 100 yang lain akan berlangsung di China dan Vietnam,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu mata ranking yang diperoleh pada kejohanan Super 100 ini akan menentukan kelayakan bagi Jelajah Dunia Akhir BWF pada hujung tahun selain kelayakan untuk Sukan Olimpik Paris.

Tempoh kelayakan bagi Sukan Olimpik Paris akan bermula dari 1 Mei 2023 hingga 28 April 2024.

Penyenaraian acara Malaysia Super 100 itu menyaksikan negara kini mempunyai tiga kejohanan Jelajah Dunia BWF iaitu selepas Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :