Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual rendah berbanding harga pasaran ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Harmoni Seksyen 19, Shah Alam pada 18 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Manfaat jualan murah barangan dapur untuk kenduri, jimat belanja ratus ringgit

SHAH ALAM, 18 DIS: Satu keluarga tidak melepaskan peluang mengunjungi beberapa lokasi Jualan Ehsan Rakyat (JER) sejak minggu lepas bagi mendapatkan aneka barangan asas yang dijual dengan harga murah.

Farhan Adli Zulkifli, 27, berkata mereka sekeluarga datang ke jualan murah di Pandamaran, Klang dan Seksyen 18 termasuk di Seksyen 19 hari ini, bagi menambah bekalan ayam dan daging untuk kenduri sempena majlis pertunangan adiknya.

Farhan Adli Zulkifli. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kami sentiasa menyemak lokasi JER yang dikemas kini melalui Facebook PKPS sebab tidak mahu terlepas peluang, apatah lagi majlis pertunangan adik bakal berlangsung dalam tempoh terdekat.

“Jadi kami beli siap-siap sebagai bekalan memandangkan harganya sangat murah berbanding tempat lain yang mungkin harganya berganda-ganda,” katanya yang berbelanja hampir RM200 pada program hari ini.

Sementara itu, suri rumah Siti Homsiah Mohd Kosnan, 42, berkata JER sememangnya dinanti keluarga berpendapatan rendah (B40) yang memiliki ramai tanggungan sepertinya.

Siti Homsiah Mohd Kosnan. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Biasanya saya belanja RM300 seminggu untuk beli barang basah memandangkan saya mempunyai tujuh anak yang kerap makan ayam dan daging, tetapi hari ini saya habis RM200 sahaja.

“Alhamdulillah, saya sangat puas hati kerana jimat beratus ringgit. Saya harap jualan sebegini boleh dibuat di Seksyen 7 kerana lebih dekat dengan rumah,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, A Nagakanni, 68, tidak ketinggalan membeli barangan asas sebaik mendapat maklumat berhubung penganjuran program terbabit oleh jirannya.

“Pada awalnya saya tidak tahu mengenai program ini, tetapu tengok ramai orang beratur sampailah jiran beritahu ada jualan murah, jadi saya terus datang ke sini.

A Nagakanni. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Banyak barang saya beli antaranya beras, beras pulut, ayam, ikan, minyak masak, tepung gandum dan sos cili. Harga memang betul-betul murah, saya hanya bayar RM122 untuk semua barangan ini.

“Saya harap jualan sebegini diteruskan dengan lebih kerap di sini, sekurang-kurangnya rakyat dapat manfaat,” katanya.

JER menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan) ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak (RM25 sebotol) dan beras 5 kilogram (RM10).

Program melibatkan 56 DUN bermula September lepas sepatutnya berakhir 6 Disember lalu, namun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif itu disambung sehingga Mac tahun depan susulan sambutan menggalakkan.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual rendah berbanding harga pasaran ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Harmoni Seksyen 19, Shah Alam pada 18 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :