Penduduk yang terperangkap akibat banjir diselamatkan anggota bomba di Kampung Balik Bukit, Bandar Permaisuri, Terengganu pada 18 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa bah di Kelantan, Terengganu, Perak meningkat

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Perak mencatatkan peningkatan malam ini manakala di Johor kekal seperti petang tadi.

Di KELANTAN, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 5,642 orang daripada 1,679 keluarga malam ini berbanding 3,320 orang daripada 975 keluarga pada sebelah petang.

Menurutnya, sebanyak 58 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka membabitkan lapan daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Berdasarkan kenyataan di laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/, tujuh sungai utama melepasi paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 36.10 meter (m) manakala Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli pada paras 29.55 m.

Selain itu, Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah pula pada paras 25.00 m, Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.39 m), Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat (2.56 m), Kampung Jenob, Tanah Merah (25.00 m) dan Jambatan Melor, Bachok (9.42 m).

Di TERENGGANU, situasi banjir semakin serius apabila angka mangsa terjejas terus melonjak kepada 3,785 orang daripada 1,068 keluarga berbanding 1,866 orang daripada 512 keluarga petang tadi.

JPBN memaklumkan sebanyak 76 PPS dibuka di tujuh daerah iaitu satu PPS di Kuala Terengganu, Besut (26), Hulu Terengganu (25) Setiu (11), Dungun (enam), Kemaman (enam) dan Marang (satu).

Di PERAK pula, terdapat dua PPS iaitu di Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Batu 4, Teluk Intan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat, Selekoh yang menempatkan 49 orang daripada 16 keluarga setakat 8 malam sekali gus menyaksikan peningkatan bilangan mangsa berbanding petang tadi iaitu 47 orang daripada 15 keluarga.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), beberapa kawasan membabitkan Kerian, Larut, Matang, Selama dan Kuala Kangsar dijangka mengalami hujan berterusan hingga 20 Dis ini.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di daerah Segamat kekal 75 orang daripada 21 keluarga dan mereka masih ditempatkan di tiga PPS.

JPBN dalam kenyataan memaklumkan seramai 34 orang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak, 27 masih berada di Balai Raya Kampung Kuala Paya manakala Dewan Komuniti Kampung Tasek menempatkan 14 mangsa.

Dalam pada itu, berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat melepasi paras amaran dengan ketinggian 8.91 m.

— BERNAMA

 


Pengarang :