Keadaan semasa paras air Sungai Golok yang menunjukkan trend menurun daripada bacaan 9.66 Meter kepada 9.53 Meter berbanding semalam walaupun masih diparas bahaya ketika tinjauan di Rantau Panjang, Kelantan pada 12 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Mangsa bah di Pahang dan Perak meningkat, Kelantan kekal

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Jumlah mangsa banjir di empat negeri iaitu Pahang, Perak, Terengganu dan Johor menunjukkan peningkatan berbanding semalam, manakala di Kelantan kekal.

Di Pahang, terdapat 449 mangsa banjir pagi ini berbanding 444 orang malam tadi, melibatkan tiga daerah iaitu Temerloh dengan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 346 mangsa, selain Bera (dua PPS, 35 mangsa) dan Pekan (sebuah PPS, 68 mangsa).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan, Sungai Triang di Bera melebihi paras bahaya manakala dua lagi sungai di paras amaran ialah Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan dan Sungai Jempol di Maran.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula meramalkan Pekan bakal mengalami hujan pagi ini, manakala Temerloh dan Bera dijangka hujan pada petang serta malam.

Di Perak, jumlah mangsa banjir meningkat dengan dua lagi PPS dibuka di daerah Mualim dan Manjung, menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri itu kini seramai 175 orang daripada 43 keluarga sehingga 12 tengah malam tadi.

Kuantan Art Street yang sering menjadi tumpuan orang ramai terutama pada cuti hujung minggu kelihatan lengang ekoran hujan sepanjang hari ketika tinjauan pada 11 Disember 2022. Foto BERNAMA

MetMalaysia turut meramalkan ribut petir dan hujan lebat akan melanda beberapa daerah iaitu Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Hilir Perak.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir pagi ini meningkat sedikit kepada 199 orang daripada 53 keluarga berbanding 196 orang daripada 52 keluarga malam semalam.

Sekretariat JPBN Terengganu dalam kenyataan memaklumkan setakat 8 pagi tadi, tujuh PPS dibuka membabitkan enam daerah iaitu Kuala Terengganu (84 mangsa), Kuala Nerus (54 mangsa), Dungun (24 mangsa), Kemaman (23 mangsa), Besut (12 mangsa) dan Setiu (dua mangsa).

Mangsa banjir di Johor turut menunjukkan peningkatan dengan 50 orang dipindahkan di daerah Segamat berbanding 34 orang malam tadi dengan tiga kampung terjejas iaitu Kampung Kuala Paya, Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5, menurut JPBD negeri itu.

Data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menunjukkan bacaan paras air Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat melepasi paras amaran dengan bacaan 19.79 meter dan Sungai Muar di Buloh Kasap berada pada paras amaran iaitu sembilan meter.

Sementara itu, di Kelantan, JPBN negeri berkenaan merekodkan jumlah mangsa banjir di jajahan Pasir Mas kekal dengan 1,929 orang daripada 601 keluarga pagi ini, sama seperti direkodkan malam tadi dan kesemua mangsa ditempatkan di tujuh PPS di jajahan tersebut.

Tujuh PPS terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Kedai Tanjong, SK Gual Periok, Masjid Mukim Padang Licin, PPS Putat Tujoh, SK Kubang Kual dan SK Sri Kiambang.

-BERNAMA


Pengarang :