Anggota Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang melakukan pemantauan di kawasan rumah penduduk di Kampung Padang Licin, Pasir Mas, Kelantan pada 17 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Kelantan dan Sabah menurun, Sarawak meningkat

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Sabah malam ini mencatatkan penurunan, di Sarawak menyaksikan sedikit peningkatan manakala Terengganu serta Perak kekal seperti pada sebelah petang.

Selain itu, jumlah penduduk di pesisir pantai Sabah terutama yang tinggal di rumah atas air dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran fenomena air pasang besar turut dilaporkan berkurangan.

Di Kelantan, jumlah mangsa berkurangan kepada 1,235 orang daripada 428 keluarga berbanding 1,511 orang daripada 515 keluarga petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa banjir ditempatkan di lima PPS dalam jajahan Pasir Mas dan Tumpat.

Di Sabah, mangsa yang dipindahkan di Kota Belud berkurangan kepada 135 orang daripada 56 keluarga berbanding 139 orang daripada 57 keluarga petang tadi.

PPS yang dibuka di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan menempatkan 62 orang daripada 26 keluarga manakala Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa menempatkan 73 orang daripada 30 keluarga.

Jumlah penduduk terutama yang tinggal di rumah atas air dan dipindahkan akibat fenomena air pasang besar berkurangan kepada 1,454 orang daripada 299 keluarga berbanding 1,506 orang daripada 314 keluarga.

PPS Dewan Muhibbah Sembulan di Kota Kinabalu ditutup malam ini manakala 686 orang daripada 122 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Sandakan dan 768 individu daripada 177 keluarga ditempatkan di enam PPS di Pitas.

Di Sarawak, PPS Dewan Masyarakat Kampung Lutong, Sebuyau dibuka lewat petang tadi berikutan hujan berterusan di kawasan itu sejak Jumaat, menurut JPBN Sarawak.

Ini menjadikan jumlah PPS yang beroperasi bagi bencana banjir di negeri itu kini dua dan secara keseluruhan, seramai 91 mangsa dicatatkan setakat 7 malam.

Satu lagi PPS yang beroperasi ialah Dewan Serbaguna Kampung Rimba Padi di Serian.

Di Terengganu, situasi banjir tidak berubah dengan jumlah mangsa 138 orang.

Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan Besut merupakan satu-satunya daerah yang masih terjejas dengan dua PPS dibuka iaitu Masjid Kampung La yang menempatkan 126 mangsa dan Balairaya Kampung Pantai, 12 mangsa.

Di Perak, jumlah mangsa tidak berubah iaitu 62 orang daripada 14 keluarga.

Sekretariat JPBN Perak memaklumkan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib (SMART) di Hilir Perak menjadi satu-satunya PPS yang beroperasi ketika ini.

Menurutnya, keadaan cuaca adalah baik dan kesemua mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan selamat.

– BERNAMA


Pengarang :