Penduduk menggunakan perkhidmatan sampan untuk melakukan kegiatan harian berikutan kawasan kampung masih ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang pada 13 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Pahang, Terengganu, Johor menurun setakat petang

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Situasi banjir di lima negeri menunjukkan tanda positif setakat petang ini apabila jumlah mangsa di Pahang, Terengganu dan Johor menurun manakala Perak dan Kelantan masing-masing kekal.

Di Pahang, banjir di daerah Bera pulih sepenuhnya apabila semua sembilan mangsa terakhir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kerayong dibenarkan pulang ke kediaman mereka hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang melaporkan perkembangan itu menjadikan hanya Pekan terjejas banjir setakat petang ini, dengan sebuah PPS iaitu di SK Sinar Mutiara di Sungai Miang beroperasi bagi menempatkan 142 mangsa daripada 36 keluarga.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir pada petang ini menurun kepada 37 orang daripada 10 keluarga berbanding 61 orang daripada 13 keluarga pagi tadi, menurut kenyataan Sekretariat JPBN Terengganu.

Ketika ini, Kuala Terengganu menjadi satu-satunya daerah yang terkesan apabila PPS SK Atas Tol dibuka semula dengan menempatkan kesemua mangsa petang ini manakala banjir di daerah Hulu Terengganu pulih dengan penutupan PPS terakhir iaitu Balai Raya Kampung Kemat, pada 2 petang tadi.

Mangsa banjir di Johor berkurangan kepada 91 orang setakat 4 petang tadi berbanding 178 orang pagi tadi, susulan penutupan dua PPS di daerah Kota Tinggi pada 1 tengah hari tadi iaitu Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Muafakat Bandar Penawar, menurut Sekretariat JPBN.

Empat lagi PPS masih dibuka melibatkan tiga di Segamat iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak, Balai Raya Kampung Kuala Paya dan Dewan Komuniti Kampung Tasek manakala satu PPS di Mersing dibuka di Sekolah Agama Pangkalan Batu pada 12.30 tengah malam tadi (15 Dis), melibatkan tiga keluarga.

Di Kelantan, seramai 2,019 mangsa banjir daripada 637 keluarga di jajahan Pasir Mas sedang ditempatkan di tujuh PPS petang ini, dengan jumlah itu kekal sama seperti direkodkan pagi tadi

Sekretariat JPBN Kelantan memaklumkan 712 mangsa berlindung di SK Tok Deh, SK Kedai Tanjong (47), SK Gual Periok (544), Masjid Mukim Padang Licin (69), PPS Putat Tujoh (157), SK Kubang Kual (256) dan SK Sri Kiambang (234).

Sekretariat JPBN Perak memaklumkan jumlah mangsa banjir petang ini kekal 104 orang daripada 25 keluarga sejak 8 pagi tadi yang ditempatkan di tiga PPS iaitu SMK Abd Rahman Talib dekat Hilir Perak; SK Padang Serai di Manjung; dan Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Teluk Memali di Perak Tengah. – BERNAMA


Pengarang :