Sebahagian kanak-kanak yang terjejas banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, Kemaman melakukan aktiviti mewarna hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Perak berkurang, empat negeri lagi kekal

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Situasi banjir di Perak menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa pagi ini merekodkan penurunan manakala jumlah mangsa di Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Sabah pula kekal.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir kini berkurangan kepada 35 orang daripada enam keluarga berbanding 42 orang membabitkan lapan keluarga malam tadi.

Di Kelantan, menurut laman sesawang http://infobencanajkmv2.jkm.gov.my jumlah mangsa di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas kekal dengan 31 orang daripada 12 keluarga pada pagi ini.

Di Terengganu pula, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa di Besut kekal 53 orang daripada 12 keluarga yang berlindung di PPS Masjid Kampung La dan semua mangsa dijangka berada di PPS itu bagi tempoh lama kerana kebanyakan rumah mereka dihanyutkan banjir.

Di Sarawak, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal tujuh orang yang masih berlindung di PPS Dewan Masyarakat Kampung Lutong, Sebuyau, pagi ini.

Di Sabah, jumlah mangsa yang dipindahkan di Kota Belud kekal 135 orang daripada 56 keluarga dengan 62 individu daripada 26 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan dan 73 orang daripada 30 keluarga berlindung di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa.

Jumlah penduduk yang dipindahkan akibat fenomena air pasang besar juga kekal 1,454 orang daripada 298 keluarga setakat pagi ini.

Mereka ditempatkan di sebuah PPS di Sandakan (688 orang daripada 121 keluarga) dan enam PPS di Pitas (766 orang daripada 177 keluarga).

-BERNAMA


Pengarang :