Keadaan banjir di Kampung Bukit Changgang, Banting Selangor pada 4 Disember 2022. Foto Skuad PANTAS MPKL
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Selangor menurun, 13 keluarga masih di pusat pemindahan

Oleh Faizal Nazaruddin

SHAH ALAM, 5 DIS: Jumlah Mangsa banjir di Selangor semakin menurun dengan 42 orang daripada 13 keluarga yang masih berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 4 petang tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi Facebook memaklumkan secara keseluruhan seramai 295 mangsa banjir berlindung di lima PPS di Selangor, Perak dan Perlis setakat 4 petang tadi.

Di Perak mangsa banjir adalah 262 orang dengan dua PPS dibuka manakala Perlis mangsa berada di sebuah PPS iaitu empat orang.

Dalam pada itu, beberapa kawasan rendah di Kampung Bukit Changgang, Banting masih digenangi air bah selepas banjir berlaku akibat limpahan Sungai Langat pada 2 Disember lalu, menurut Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan keadaan banjir adalah terkawal meskipun terdapat rumah penduduk di kawasan rendah dan jalan raya dinaiki air.

“Antara laluan dinaiki air bah iaitu Jalan Emas Kiri, Jalan Perak Kiri, Jalan Tembaga, Perak Kanan, Emas Kanan dan Bukit Serdang.

“Jalan Bukit Serdang ditutup kepada kenderaan kerana kawasan berkenaan telah dinaiki air dan penduduk kampung juga membuat kawalan,” katannya menerusi Facebook.

Tinjauan skuad pantas MPKL juga mendapati paras Sungai dalam keadaan baik dan terkawal.


Pengarang :