Saliah bersama suami di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Komuniti Dato’ Ahmad Razali, Dengkil. Foto APM Selangor
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir gembira dapat penjagaan baik di pusat pemindahan sementara

OLEH FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 5 DIS:Rata-rata mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Komuniti Dato’ Ahmad Razali, Dengkil berpuas hati mendapat penjagaan yang selesa sepanjang berlindung di situ.

Saliah Maharuddin, 51, berkata meskipun tempat tinggal sementara disediakan lebih cantik dan lengkap namun rumah sendiri lebih selesa.

“Walaupun saya dan suami susah untuk bergerak ke PPS tanpa bantuan pihak penyelamat, kami berasa syukur kerana dilayan baik oleh mereka.

“Makan, pakaian dan tempat menginap kami disusun atur di khemah yang disediakan, walau tidak selesa berbanding rumah sendiri, ini pun sudah memadai dan terima kasih kami ucapkan,” katanya menerusi Facebook Angkatan Pertahanan Awam Selangor semalam.

Saliah menceritakan keadaan banjir yang melanda sebelum ini pernah mencecah ke paras bumbung dan mereka terpaksa membuat loteng untuk meletakkan barang penting di situ bagi mengelakkan lebih banyak barang musnah.

Seorang lagi mangsa banjir Rokiah Mad Supi, 71, mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang sentiasa bersama mangsa banjir sepanjang PPS itu dibuka.

“Saya berasa lega kerana mendapat penjagaan yang secukupnya walaupun hati sedikit gundah memikirkan kerosakan harta benda akibat bencana banjir di rumah.

Kedua-dua mereka merupakan antara mangsa banjir dari Kampung Chemperai yang terpaksa dipindahkan selepas rumah dinaiki air disebabkan hujan lebat serta limpahan air dari ban tanah yang pecah pada 17 November lalu.


Pengarang :