Sungai Langat di Kampung Bukit Changgang, Banting semakin surut pada 6 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir Selangor terus menurun, Perak dan Perlis kekal

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 6 DIS: Keadaan banjir ‘termenung’ yang beransur pulih di Kampung Bukit Changgang, Banting mendorong beberapa mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) mula pulang ke rumah.

Setakat 8 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di PPS dewan orang ramai kampung itu menurun kepada 37 orang membabitkan 11 keluarga berbanding 42 orang petang semalam.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi Facebook memaklumkan jumlah keseluruhan mangsa banjir iaitu 288 orang yang berlindung di lima PPS yang dibuka di Selangor, Perak dan Perlis.

Selain Selangor yang beransur pulih, mangsa banjir di Perak masih kekal 247 orang daripada 70 keluarga ditempatkan di dua PPS dan Perlis, empat orang berada di sebuah PPS yang beroperasi.

Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor pula memaklumkan paras air di stesen Bukit Changgang mulai menurun daripada paras waspada kepada normal pagi ini.

Dalam pada itu, MetMalaysia meramal ribut petir dan hujan di Selangor, Perak, Perlis, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada sebelah petang.


Pengarang :