Penduduk menggunakan sampan meninjau keadaan rumah mereka yang ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang pada 13 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir Terengganu, Pahang menurun tiga lagi negeri kekal

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Pahang mencatatkan pengurangan berbanding semalam manakala Perak, Kelantan dan Johor kekal.

Di Pahang, sejumlah 387 mangsa banjir dilaporkan pagi ini berbanding 435 malam tadi, melibatkan tiga daerah masih terjejas banjir iaitu Temerloh dengan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 210 mangsa, selain Pekan (sebuah PPS, 142 mangsa) dan Bera (dua PPS, 35 mangsa).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan Sungai Triang di Bera masih berada pada paras bahaya manakala lima sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku dan Sungai Luit di Kampung Subuh, kedua-duanya di Maran; Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan; Sungai Belat di Kuantan dan Sungai Keratong di Rompin.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula meramalkan ribut petir di Temerloh dan Bera pada petang serta malam ini manakala Pekan dijangka mengalami hujan pagi ini.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir pagi ini menurun kepada 69 orang daripada 22 keluarga berbanding 80 daripada 24 keluarga malam tadi, dengan tiga PPS dibuka di tiga daerah iaitu Kuala Terengganu (55 mangsa), Besut (12 mangsa) dan Setiu (dua mangsa) masih beroperasi setakat 8 pagi ini.

Sementara itu, di Kelantan, Sekretariat JBPN merekodkan jumlah mangsa banjir di jajahan Pasir Mas kekal dengan 2,018 orang daripada 635 keluarga pagi ini, sama seperti direkodkan malam tadi dan kesemua mangsa ditempatkan di tujuh PPS di jajahan tersebut.

PPS terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh yang menempatkan 712 mangsa, SK Kedai Tanjong (47 mangsa), SK Gual Periok (544 mangsa), Masjid Mukim Padang Licin (73 mangsa), PPS Putat Tujoh (157 mangsa), SK Kubang Kual (251 mangsa) dan SK Sri Kiambang dengan 234 mangsa.

Di Perak, empat PPS masih beroperasi dengan jumlah mangsa kekal 147 orang daripada 39 keluarga sehingga 12 tengah malam tadi.

Sekretariat JPBN memaklumkan empat PPS tersebut adalah SMK Abd Rahman Talib (SMART) di daerah Hilir Perak; Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Manjung; Dewan SK Slim River, Mualim dan Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Teluk Memali di Perak Tengah.

Di Johor, mangsa banjir kekal 51 orang setakat 8 pagi ini berbanding malam tadi, dengan Segamat menjadi satu-satunya daerah yang terjejas ekoran bencana itu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memaklumkan 15 keluarga masih ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak serta Balai Raya Kampung Kuala Paya dan mereka yang terjejas adalah penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 Segamat dan Kampung Kuala Paya.

Cuaca di Johor Bahru dilaporkan cerah manakala sembilan daerah lagi mendung, namun MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir setakat 6 pagi tadi melibatkan daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kulai, Johor Bahru, Pontian dan Mersing bagi ramalan sehingga 9 pagi ini.

– BERNAMA


Pengarang :