Beberapa kawasan dinaiki air ketika tinjauan udara di sekitar Besut, Hulu Terengganu dan Setiu pada 20 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir Terengganu, Pahang, Perak berlindung di PPS menurun

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Situasi banjir di Terengganu, Pahang dan Perak menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan setakat petang ini.

Di Terengganu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa menurun kepada 38,574 berbanding 40,456 orang pagi tadi dan sebanyak 277 PPS dibuka membabitkan Kemaman, Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Nerus, Setiu, Kuala Terengganu dan Marang.

Di Pahang, Sekretariat JPBN memaklumkan banjir di Kuantan semakin pulih selepas hanya satu PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Ular yang menempatkan 30 orang masih dibuka petang ini berbanding tiga PPS yang menempatkan 221 orang pagi tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan paras air Sungai Keratong, Rompin masih melepasi tahap bahaya manakala di Maran, Sungai Pahang (Lubuk Paku) dan Sungai Luit (Kampung Subuh) serta Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan, melebihi tahap amaran.

Di Perak, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa menurun kepada 26 orang petang ini berbanding 54 pagi tadi berikutan penutupan PPS di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abd Rahman Talib (SMART), Hilir Perak, 3 petang tadi dan hanya PPS di Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang Darat di Bagan Datuk masih beroperasi.

Di Johor, Sekretariat JPBN dalam kenyataan menyatakan jumlah mangsa banjir di Segamat kekal dengan 48 orang petang ini.

Menurut data JPS pula, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat masih berada pada paras amaran dengan ketinggian 8.54 meter selain amaran banjir turut dikeluarkan bagi kawasan Sungai Melikai serta kawasan sekitarnya, Kampung Jemari, Pengkalan Batu dan kawasan sekitarnya di daerah Mersing, sekiranya hujan berterusan berserta kejadian air pasang besar.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat sedikit petang ini kepada 31,584 berbanding 31,487 orang pagi tadi.

Sekretariat JPBN memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 126 PPS membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh, Kota Bharu dan Bachok. – BERNAMA


Pengarang :