Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan cek cura sumbangan khas kepada penerima sempena majlis penyerahan inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Tapak Karnival Stadium Shah Alam, Shah Alam pada 24 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mangsa kemalangan hargai sumbangan RM5,000 daripada Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 25 DIS: Pekerja p-panggilan yang dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Haji Sirat, Meru pada September lepas menerima bantuan Kerajaan Negeri berjumlah RM5,000 semalam.

Muhammad Nazrul Mohd Nadzri, 29, berkata sumbangan itu akan diguna untuk menampung kos rawatan dan belanja bulanan memandangkan dia tidak boleh bekerja dalam tempoh lama.

“Dengan bantuan ini, beban belanja keluarga dapat berkurang. Saya juga perlu menyara isteri dan dua anak berusia tiga tahun dan dua bulan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana prihatin nasib saya sekeluarga. Saya mungkin tidak dapat bekerja dalam tujuh bulan ini,” katanya ditemui pada majlis penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di tapak karnival Stadium Shah Alam semalam.

Pada September lepas, Kerajaan Negeri turut menyerahkan sumbangan kepada keluarga arwah Muhaimin Mohd Said yang maut dalam kemalangan sama.

Sementara itu penerima RiDE Mohd Effendi Abdul Karim,30, berkata inisiatif Kerajaan Negeri membantu golongan belia mendapat pekerjaan menjamin kelangsungan hidup.

“Dengan bantuan berjumlah RM550 ini, ramai pekerja p-panggilan dapat membuat lesen. Kali ini juga kami boleh membuat caruman serta mendaftar Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Kami harap kerajaan terus membantu belia terutama dalam aspek ekonomi dan peluang kerja,” katanya.


Pengarang :