Empat warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket tawaran pekerjaan di Kemboja selamat tiba di tanah air pada 4.35 petang, 19 April 2022. Foto Facebook Wisma Putra
AGENDANASIONAL

Mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan pulang dari Dubai

PUTRAJAYA, 16 DIS: Lapan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah dibawa pulang hari ini dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu proses siasatan selanjutnya.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri (KLN), Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) di Dubai telah mengambil tindakan segera bagi membantu menyelamatkan mereka setelah menerima makluman berhubung perkara itu.

“KLN merakamkan penghargaan kepada pihak Kerajaan UAE atas bantuan dan kerjasama yang telah diberikan dalam membantu dan mempercepatkan proses penghantaran pulang kesemua mangsa.

“KLN turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri II atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan bagi membawa pulang kesemua mangsa ke tanah air dengan selamat,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Wisma Putra dalam kenyataan berasingan berkata dua rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di sempadan Thailand-Myanmar baru-baru ini berjaya diselamatkan Kedutaan Malaysia di Bangkok dengan kerjasama PDRM dan pihak berkuasa Thailand.

Kedua-dua mangsa yang video mereka telah dimuat naik oleh Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO) itu, kini sedang melalui proses siasatan dan perundangan sewajarnya di negara itu sebelum dihantar pulang ke tanah air, menurut kenyataan itu.

“Dalam hal ini, kementerian melalui Kedutaan Malaysia di Bangkok akan terus memantau perkara ini bagi memastikan semua mangsa pulang ke Malaysia dengan segera.

“KLN memandang serius isu ini dan kementerian melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia memberikan bantuan sewajarnya bagi membantu mereka yang menjadi mangsa sindiket,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :