Salah seorang mangsa yang terkorban dibawa keluar dari lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa tanah runtuh mungkin lebih 94 orang, kata menteri

SHAH ALAM, 16 DIS: Jumlah mangsa yang masih hilang susulan tanah runtuh di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya awal pagi tadi mungkin lebih ramai, kata menteri dalam negeri.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan jumlah mangsa yang dikenal pasti setakat ini seramai 94 orang berdasarkan rekod pengusaha tiga tapak kem itu, lapor Harian Metro.

“Ada kemungkinan angka ini berubah memandangkan mungkin pendaftaran dibuat atas nama suami atau isteri saja.

“Justeru, kita memaklumkan kepada mana-mana balai supaya menerima laporan orang hilang yang diketahui datang ke tapak perkhemahan ini supaya maklumat ini dikumpul dalam operasi,” katanya.

Beliau memaklumkan pihaknya juga akan menambah jumlah anggota membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden itu.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution memberitahu mayat mangsa pertama dibawa keluar dari lokasi jam 5.40 pagi tadi dengan usaha mencari 23 lagi mangsa terus giat dijalankan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam sidang media sebentar tadi mengesahkan seramai 13 mangsa maut dalam tragedi yang berlaku kira-kira 2.20 pagi ini.


Pengarang :