Majlis Doa Selamat Dan Solat Hajat Kesejahteraan Negeri Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Masjid, surau di Selangor digesa laksana solat hajat hindar musibah

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 16 DIS: Semua masjid dan surau di Selangor dikehendaki melaksanakan solat hajat serta doa selepas solat Jumaat, hari ini sebagai ikhtiar menghindarkan kemungkinan musibah buruk akibat musim monsun timur laut.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Selangor Salwana Ahmad Dahlan memaklumkan arahan berkaitan susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung luruan monsun dijangka memasuki rantau negara bermula esok.

“Solat sunat hajat dan doa selepas menunaikan solat Jumaat untuk memohon kepada Allah agar negara serta Selangor diberikan keselamatan, perlindungan dan kesejahteraan daripada sebarang musibah dan malapetaka.

“Doa ini dianjurkan untuk diteruskan selepas pelaksanaan solat fardhu lima waktu di semua masjid dan surau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, MetMalaysia mengeluarkan ramalan cuaca signifikan yang menjangka luruan monsun akan memasuki rantau negara mulai esok.

Ia berpotensi membawa hujan berterusan di negeri timur semenanjung bermula 17 hingga 20 Disember yang dijangka menyebabkan berlakunya banjir, banjir kilat, ribut dan tanah runtuh.


Pengarang :