AGENDAJENAYAH

Mayat lelaki ditemukan dengan tangan, kaki berikat di tepi jalan

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Satu mayat lelaki warga tempatan ditemukan dalam keadaan tangan dan kakinya berikat di tepi Jalan Bestari Jaya – Rawang menghala ke Bestari Jaya, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata mayat yang identitinya belum dikenal pasti itu ditemukan seorang lelaki tempatan yang kemudian menghubungi Balai Polis Rawang pada 11.40 pagi.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak termasuk pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 40-an. Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat berkenaan.

“Pemeriksaan pada tubuh si mati yang tangan dan kakinya diikat dengan tali nilon menemukan kesan kecederaan dan luka parah di bahagian atas kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainal Mohamed berkata mayat ditemukan berpakaian lengkap dengan baju-t berwarna ‘maroon’ dan berseluar pendek berwarna hitam jenama H&G.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan suspek yang terlibat serta motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Beliau berkata orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP R Kolanthaivelu di talian 03-61262222 atau 019-2579232.

– BERNAMA


Pengarang :