Mayat terakhir tragedi tanah runtuh Batang Kali dibawa keluar pada 4.53 petang 24 Disember 2022. Foto Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
AGENDANASIONAL

Mayat terakhir tanah runtuh Batang Kali ditemukan dalam beg tidur

BATANG KALI, 24 DIS: Mayat mangsa terakhir insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di sini, dijumpai dalam beg tidur pada kedalaman tanah 1.5 meter pada pukul 4.53 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata mayat kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tujuh hingga 12 tahun itu ditemukan dalam keadaan telungkup di tebing bukit kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan berkenaan di Sektor A (hill view).

Beliau berkata mayat itu dijumpai lengkap berpakaian dalam keadaan sempurna, namun sudah mula mereput dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan bagi kerja-kerja pemeriksaan dan siasatan bagi memastikan kawasan terbabit benar-benar selamat.

Kami menjangkakan jika tiada halangan dan perkembangan terbaharu, keputusan penamatan SAR akan dimaklumkan esok,” katanya pada sidang media selepas penemuan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan itu, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Md Wan Ismail berkata mangsa terakhir itu ditemukan selepas digali secara manual oleh anggota penyelamat yang mengesan aliran cecair yang dipercayai daripada mayat berkenaan.

Beliau berkata secara keseluruhan, 20 mayat ditemui di Sektor A, satu di Sektor B (farm view) dan 10 di Sektor C (river side).

Tinjauan Bernama di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) pada 7.20 malam ini mendapati anggota penyelamat SAR masuk ke lokasi pencarian bagi membuat aktiviti “pembersihan” tempat kejadian.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi 16 Dis lepas itu menyaksikan 31 nyawa terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan dalam kejadian itu.

Operasi SAR melibatkan kerjasama lima agensi utama iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, JBPM, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan kekuatan anggota melebihi 250 orang.

– BERNAMA


Pengarang :