Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Kompleks Muhibbah Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 13 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Baki vaksin ditawar kepada buruh asing, jual kepada negara luar

SHAH ALAM, 1 DIS : Kerajaan Negeri bercadang menawarkan sejumlah lebihan Vaksin Selangor (Selvax) kepada buruh asing yang belum menerima suntikan terbabit.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selain diberi kepada golongan tersebut pihaknya turut mempertimbangkan cadangan untuk menjual vaksin Covid-19 itu kepada negara luar.

“Dengan perebakan Covid-19 ketika ini, suntikan vaksin masih perlu cuma bukan dalam jumlah yang besar. Mungkin juga (Selvax) akan menjadi sebahagian sumbangan negeri kepada lokaliti lain.

“Kita perlu ingat dengan pembukaan sempadan pada masa akan datang kita turut boleh menawarkan kepada pekerja asing terutama buruh binaan yang mungkin belum mendapat vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung program Selvax dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin memaklumkan jangka hayat vaksin tersebut adalah selama tiga tahun iaitu sehingga tahun depan atau awal 2024.

Pada Jun 2021, Kerajaan Selangor memperuntuk lebih RM200 juta untuk melaksanakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Selvax Komuniti menyasarkan warga emas, golongan berpendapatan rendah dan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat manakala Selvax Industri memfokuskan pekerja termasuk warga asing.

Selvax bergerak pula dijalankan 12 September menggunakan bas dan van bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir menerima vaksin. Kemudian pada 7 Oktober, Selvax Remaja dilancarkan diikuti Selvax Booster.

Terdahulu, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud memberitahu sebanyak 684,259 dos vaksin digunakan bagi program Selvax sehingga 18 Oktober lalu.

Menurut beliau kadar vaksinasi termasuk dos penggalak tinggi melebihi 90 peratus jumlah penduduk membantu Kerajaan Negeri mengawal jangkitan Covid-19.


Pengarang :