Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) selepas menyampaikan hadiah program tokoh nilam peringkat daerah Petaling Perdana pada 7 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB bangga pesta buku antarabangsa negeri dapat sambutan luar biasa

SHAH ALAM, 7 DIS: Dato’ Menteri Besar bangga Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 yang julung kali dianjur mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung setakat hari keenam, semalam.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kehadiran pengunjung ke pesta berkenaan lebih baik berbanding tempoh sama penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada Jun lalu.

Beliau turut memaklumkan kebanyakan pempamer terutama dari luar negara berpuas hati dengan penganjuran pesta berkenaan kerana berpeluang memasarkan pelbagai bahan penerbitan mereka.

“Saya percaya hujung minggu ini lebih ramai orang akan datang. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dan menyokong penuh program kali ini,

“Pesta kali ini ada keistimewaan sebab memfokuskan penerbitan, penjualan dan pengenalan buku kanak-kanak. Ini selaras dengan niat kita terhadap pendidikan awal yang merupakan nadi penting kepada bidang pendidikan negara,” katanya ditemui selepas melawat pesta berkenaan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Anugerah Nilam di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) pada 7 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Terdahulu, Amirudin menyampaikan Anugerah Nilam kepada wakil Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Megah, SMK Subang Bestari, Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan U3 dan SK Seksyen 9.

Beliau turut melawat reruai antaranya Big Bear Distributor, World Scientific Publishing, Kumpulan Rimbunan, Exploria, Buku-Buku Indonesia, Guanxi Normal Univ Press dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia.

Turut dilawati reruai Yusuf Gajah, Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja, Perpustakaan Kuala Lumpur dan @do.da. doodle sebelum mendeklamasikan puisi bertajuk ‘Rumah Ini Rumah Kita’.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendeklamasi puisi selepas menyampaikan hadiah program tokoh nilam peringkat daerah Petaling Perdana di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 pada 7 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

SIBF anjuran Kerajaan Negeri dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sebagai urusetia diadakan hasil kesinambungan Pesta Buku Selangor yang diadakan sejak 2006.

Selain pameran dan jualan buku, pelbagai aktiviti menarik melibatkan pelajar dan kanak-kanak turut diadakan selain jualan pelbagai jenis makanan dan barangan.


Pengarang :