Anggota bomba memindahkan mangsa banjir di Kampung Sungai Gali, Pasir Puteh, Kelantan pada 19 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Bantuan pascabah ke Terengganu, Kelantan diselaras Isnin

PETALING JAYA, 22 DIS: Dato’ Menteri Besar akan mula menyelaras dan menyusun pergerakan bantuan pascabah ke Kelantan dan Terengganu pada Isnin ini.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari penyelarasan turut melibatkan agensi Kerajaan Negeri bagi memastikan operasi bantuan berjalan lancar.

“Kita akan tentukan tempat untuk laksana pembersihan selain program ziarah bantuan pascabanjir dapat dilaksana dengan berkesan.

“Ketika ini operasi menyelamat masih dijalankan. Ahli Sukarelawan Selangor (SERVE Elit) seramai 40 orang juga bersedia sekiranya mendapat kebenaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan The World of DC Exhibition di Tropicana Gardens Mall di sini hari ini.

Pada Selasa, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri sedia berkhidmat untuk sebarang bentuk bantuan kemanusiaan pascabanjir melalui Skuad PANTAS dan SERVE.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menghulur bantuan kewangan berjumlah RM500,000 masing-masing kepada Kelantan dan Terengganu yang berdepan musibah banjir ketika ini.

Dato’ Menteri Besar berkata Sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor 2022 sebagai tanda simpati terhadap nasib puluhan ribu mangsa yang terkesan akibat bencana itu.


Pengarang :