Keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Laluan sehala Batang Kali-Genting Highlands dibuka untuk kenderaan ringan awal Januari

SHAH ALAM, 24 DIS: Laluan sehala akan dibuka di Jalan B66 Batang Kali-Genting Highlands untuk kenderaan ringan mulai awal Januari, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan dibuat bagi memudahkan urusan ulang-alik hampir 5,000 pekerja yang tinggal di Batang Kali, Hulu Selangor dan Genting Highlands, Pahang.

Jelas beliau, keputusan tersebut diambil selepas mengadakan perbincangan bersama pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor semalam.

“Laluan ini hanya satu jalan sahaja. Kita akan berhentikan kenderaan dari atas dan bagi arah bawah lalu. Begitu juga kalau atas sedang lalu, arah bawah dihentikan,”

“Kita akan membesarkan laluan yang tidak terkena runtuhan untuk bolehkan kenderaan ringan melintas. Kawasan sudah ditambak batu dan akan dipadatkan.

“Apabila sudah boleh lalu, kita akan umumkan. Mungkin minggu pertama Januari sebab kita nak selaraskan dan susun dengan pasukan keselamatan,” katanya.

Pada Selasa, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman memaklumkan laluan berkenaan yang terlibat runtuhan hingga mengorbankan nyawa ditutup sehingga hujung tahun depan bagi kerja pemulihan cerun.

Semalam Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata laluan itu akan dibuka kepada pengguna motosikal dalam tempoh seminggu lagi.

Keputusan itu bagaimanapun meresahkan banyak pihak terutama peniaga dan pengusaha hotel di Batang Kali, selain mereka yang menggunakan laluan berkenaan untuk ke tempat kerja di Genting Highlands.


Pengarang :